KEADAAN kenderaan yang dinaiki dua wanita selepas bertembung dengan lori di Kilometer 107.5 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, Rompin, FOTO Ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang dinaiki dua wanita selepas bertembung dengan lori di Kilometer 107.5 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, Rompin, FOTO Ihsan bomba
Shahrinnahar Latib

DUA wanita bersaudara maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 107.5 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, Rompin, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa Norhamizah Ismail, 24, dari Desa Tanjung, Muadzam Shah dan kakak iparnya, Lizawati Mohamed Taib, 34, dari FELDA Keratong 4, Rompin maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun berkata, kejadian berlaku ketika kereta Proton Satria Neo dipandu Norhamizah datang dari arah Segamat ke Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan terbabas ke bahu jalan sebelum cuba masuk semula ke laluannya, namun hilang kawalan.

“Ini menyebabkan kereta berkenaan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 61 tahun,” katanya dalam kenyataan media di Rompin, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, polis meminta saksi kejadian tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, sepasukan lima anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.

“Anggota bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 7:28 PM