Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pertuduhan ke atasnya adalah satu petunjuk kerajaan dalam ketakutan dan 'bankrap.'

Muhammad Sanusi berkata, pertuduhan itu jelas bermotifkan politik dan menjejaskan beliau dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Tujuan mereka adalah untuk menjejaskan saya dalam PRN. Saya yakin dengan pendakwaan ini rakyat Malaysia memahami tujuan mereka dan hasrat sebenar mereka.

"Nampaknya di Malaysia ini tidak boleh cakap apa-apa. Kalau di medan politik biasanya orang selesaikan masalah politik di medan politik, kita beri hujah balas kerana ada orang yang takut di Malaysia ini," katanya pada sidang media di Mahkamah Selayang, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, dia memberi kerjasama yang baik ketika ditahan di kediamannya di Kuala Lumpur pada 3 pagi tadi.

"Saya memberi kerjasama, selepas tangkapan itu ada siasatan kes lagi berkaitan dengan satu lagi ucapan saya di tempat lain.

"Saya harap PRN akan datang ini PN akan menang di enam negeri,"katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau hanya mengetahui pentuduhan terhadapnya melalui laporan media malah tiada sebarang notis diberikan.

"Saya sememangnya mahu hadir ke mahkamah pagi ini tetapi mereka tetap datang buat tangkapan pukul 3 pagi di kediaman saya di Kuala Lumpur.

"Saya beri kerjasama yang baik untuk hadir," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Muhammad Sanusi, 49, yang memakai kemeja putih dan seluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

"Faham, tidak (mengaku bersalah) Yang Arif," katanya.

MUHAMMAD Sanusi pada sidang media susulan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
MUHAMMAD Sanusi pada sidang media susulan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja dan mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di sini, 11 malam 11 Julai lalu.

Oleh itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan dua Timbalan Pendakwa Raya Datuk Manoj Kurup serta Datuk Masri Mohd Daud manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Ahmad Terrirudin menawarkan wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 terhadap Muhammad Sanusi dan memohon perintah larangan bersuara kepada Muhammad Sanusi untuk tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes ini sehingga kes selesai.

MUHAMMAD Sanusi pada sidang media susulan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
MUHAMMAD Sanusi pada sidang media susulan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 12:10 PM