Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap bayi lelaki berusia sembilan bulan di bawah jagaan isterinya yang juga pengasuh, pada April lalu.

Bagi pertuduhan membunuh, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohamed Badruldin Mohamed, 36, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan antara 8 pagi hingga 3.30 petang di Lembah Subang, di sini, 27 April lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii pada masa dan lokasi sama, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

TERTUDUH diiringi polis di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
TERTUDUH diiringi polis di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 15 Jun nanti sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 3:10 PM