Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 10,000 topeng mulut dan hidung bersama keperluan asas makanan dan minuman disumbangkan kepada kakitangan Hospital Selayang, hari ini.

Pengerusi Winner Dynasty Group Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu selepas dihubungi seorang doktor bertugas di hospital berkenaan, semalam.

“Doktor berkenaan memaklumkan bahawa mereka memerlukan bantuan topeng (mulut dan hidung) serta keperluan asas seperti makanan dan minuman untuk kakitangan hospital ini.

“Justeru, saya mengambil inisiatif memberikan sumbangan berkenaan pada hari ini memandangkan mereka adalah golongan paling terdedah dengan virus Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan terbabit di Hospital Selayang, hari ini.

Sumbangan topeng muka dan hidung dengan keperluan makanan dan minuman lain seperti biskut, mi segera, air mineral dan lain-lain berkenaan disampaikan beliau kepada Pengarah Hospital Selayang, Dr Sakinah Alwi.

SOON Hee menyampaikan topeng mulut dan hidung kepada Dr Sakinah (dua dari kanan) ketika majlis penyampaian sumbangan di Hospital Selayang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SOON Hee menyampaikan topeng mulut dan hidung kepada Dr Sakinah (dua dari kanan) ketika majlis penyampaian sumbangan di Hospital Selayang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Sementara itu, Sakinah berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil memberikan sumbangan kepada kakitangan Hospital Selayang.

“Dalam tempoh kebelakangan ini, pihaknya banyak menerima sumbangan daripada persendirian, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

“Antara barangan sumbangan yang diterima adalah topeng mulut dan hidung, makanan, minuman, peralatan keperluan perubatan dan lain-lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 2:09 PM