Suraya Roslan


Selayang: Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang didakwa atas tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan menerusi ceramah politik ditetapkan 12 hari bermula Januari tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh itu selepas kes disebut semula di hadapannya di sini, hari ini

Beliau menetapkan tarikh 18 dan 19 Januari yang kemudian bersambung 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Februari 2024

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili Muhammad Sanusi manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud.

Terdahulu Masri memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 10 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

"Saya mohon kes ini dibicarakan dalam masa terdekat pada Disember tahun ini dan lebih kurang 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan," katanya.

Awang Armadajaya berkata, pihaknya mengakui kes anak guamnya adalah kes berprofil tinggi, namun pembelaan memohon supaya kes itu dibicarakan bermula Januari tahun depan.

Dalam prosiding itu, Masri juga memberitahu mahkamah bahawa terdapat pindaan berhubung dua pertuduhan dihadapi Muhammad Sanusi dan memohon supaya pertuduhan itu dibacakan dan dibicarakan bersama kerana ia membabitkan kejadian dan saksi sama.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan kerana didapati menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Gombak, jam 11 malam, 11 Julai lalu.

"Faham pertuduhan Yang Arif, mengaku tidak bersalah," katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa menghasut untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja dan mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1Xb) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Nor Rajiah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya dua pertuduhan kes Muhammad Sanusi dibicarakan bersama di hadapannya selepas tiada bantahan daripada pendakwaan.

Ia susulan perkembangan di satu lagi Mahkamah Sesyen apabila Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh membenarkan satu kes Menteri Besar Kedah itu dipindahkan dan dibicarakan bersama di hadapan Nor Rajiah.

Masri berkata, permohonan itu atas alasan dua kes itu membabitkan teks dan saksi sama, maka wajar supaya ia dibicara bersama.

Sementara itu, Muhammad Sanusi ketika sidang media berkata, prosiding hari ini untuk sebutan kes, serahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.

"Untuk apa-apa berkenaan kes ini kena tanya peguam," katanya ringkas

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor hadir di Mahkamah Selayang bagi sebutan semula kes atas dua pertuduhan menghasut. FOTO GENES GULITAH
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor hadir di Mahkamah Selayang bagi sebutan semula kes atas dua pertuduhan menghasut. FOTO GENES GULITAH

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 12:31 PM