KELUARGA Ambani. FOTO AFP
KELUARGA Ambani. FOTO AFP
Agensi

Washington: Beberapa syarikat besar yang mencapai kejayaan global hari ini kebanyakannya bermula dengan perniagaan keluarga sebelum kemudiannya berkembang menjadi syarikat terkemuka.

Walaupun kekayaan mereka pasti menjadi tumpuan, ada dalam kalangan mereka adalah golongan diraja yang kemudian menceburi bidang perniagaan.

Berikut beberapa senarai antara 10 keluarga terkaya di dunia, berdasarkan laporan majalah gaya hidup, Prestige.

Keluarga Walton

Nilai kekayaan: AS$224.5 bilion (kira-kira RM1 trilion)

Keluarga Walton menguasai 47 peratus saham peruncit terbesar dunia berdasarkan jumlah pendapatan iaitu Walmart.

Pada tahun 2002, syarikat itu menduduki ranking tertinggi dalam senarai Fortune 500, sebagai syarikat terbesar di Amerika.

Keluarga Mars

Nilai kekayaan: AS$160 bilion (kira-kira RM716 bilion)

Mars Inc, yang dimiliki keluarga Mars, adalah konfeksioneri terbesar, di sebalik snek M&M, Milky Way dan Snickers.

Perniagaan keluarga berbilang generasi ini diasaskan Frank Mars yang bermula dengan menjual gula-gula molase ketika usianya 19 tahun, pada 1902.

Keluarga Koch

Nilai kekayaan: AS$128.8 bilion (kira-kira RM777 bilion)

Adik-beradik Frederick, Charles, David dan William Koch mengambil alih syarikat minyak bapa mereka, Fred dan menjadi salah satu keluarga terkaya yang memiliki konglomerat perindustrian iaitu Koch Industries.

Perselisihan keluarga menyebabkan Frederick dan William berhenti daripada terbabit dengan perniagaan keluarga, namun dua beradik lain meneruskan legasi Koch.

AXEL Dumas. FOTO AFP
AXEL Dumas. FOTO AFP

Keluarga Hermès

Nilai kekayaan: AS$94 bilion (kira-kira RM421 bilion)

Syarikat fesyen mewah Perancis yang mengeluarkan beg tangan ikonik Kelly dan Birkin, skaf tali leher dan minyak wangi, Hermès ialah perniagaan berbilang generasi.

Axel Dumas yang kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Hermès, adalah generasi keenam keluarga Hermès-Dumas.

Keluarga Ambani

Nilai kekayaan: AS$84.6 bilion (kira-kira RM379 bilion)

Ambani ialah pemilik Reliance Industries. Empayar Reliance meliputi perniagaan fesyen, elektronik, telekomunikasi, minyak dan gas, petrokimia dan banyak lagi.

Diasaskan Dhirubhai Ambani, perniagaan ini kemudian diwarisi anak lelakinya Mukesh dan Anil.

Keluarga Wertheimer

Nilai kekayaan: AS$79 bilion (kira-kira RM353 bilion)

Empayar keluarga ini bermula apabila datuk, Alain dan Gerard Wertheimer iaitu Pierre Wertheimer berganding bahu dengan Gabriel Coco Chanel untuk membiayai jenama fesyen pada 1920.

Label Perancis yang popular dengan little black dress dan pewangi 'Chanel No 5' kini dikuasai bersama keluarga Wertheimer.

Keluarga Thomson

Nilai kekayaan: AS$53.9 bilion (kira-kira RM237 bilion)

Thomson Reuters adalah keluarga untuk agensi media dan berita, Reuters. Sejarahnya bermula sejak 1930-an apabila pengasas Roy Thomson membuka stesen radio di Ontario, sebelum memasuki perniagaan percetakan.

Ahli keluarga generasi ketiga Peter juga melabur dalam syarikat lain seperti SoFi dan LendingClub melalui Thomvest Ventures.

Keluarga Hoffman, Oeri

Nilai kekayaan: AS$45.1 bilion (kira-kira RM198 bilion)

Penubuhannya bermula sejak 1896 apabila usahawan Fritz Hoffmann-La Roche mengasaskan syarikat farmaseutikal Switzerland.

Pada 1961, ahli keluarga Lukas Hoffman membiayai bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia dan selepas tiga dekad, syarikat itu mencipta satu kejayaan dengan mempatenkan teknik ujian PCR.

Keluarga Johnson

Nilai kekayaan: AS$4.2 bilion (kira-kira RM18 bilion)

Taikun kaya perniagaan keluarga ini berada di belakang syarikat dana bersama Boston, Fidelity Investments, yang diasaskan pada tahun 1946 oleh Edward C Johnson.

Syarikat itu dikendalikan cucu pengasasnya, Abigail.

GIOVANNI Ferrero, pewaris kepada perniagaan yang diasaskan keluarganya, Ferrero. FOTO AFP
GIOVANNI Ferrero, pewaris kepada perniagaan yang diasaskan keluarganya, Ferrero. FOTO AFP

Keluarga Ferrero

Coklat Ferrero Rocher, Nutella dan Kinder Joy adalah semua produk keluaran syarikat keluarga ini.

Pada tahun 2015, Ferrero mengembangkan sayap konfeksionari lebih jauh apabila ia memperoleh hak kepada Oltan - kini Ferrero Findik - iaitu syarikat terkemuka untuk mengumpul kacang hazel berkualiti premium di Turkiye.

Kemudian pada tahun itu, syarikat itu memperoleh jenama manisan United Kingdom, Thorntons.

Keluarga Hartono

Bermula dengan 10 orang dalam pasukan operasi di Indonesia, ia kini menjadi salah satu pengeluar tembakau dan rokok terbesar di negara ini.

Ditubuhkan Oei Wie Gwan pada tahun 1950-an apabila beliau membeli sebuah syarikat rokok sedia ada dan menamakannya Djarum.

Selepas Gwan meninggal dunia pada tahun 1963, dia meninggalkan syarikat itu kepada dua anak lelakinya, Michael Bambang Hartono dan Robert Budi Hartono yang melonjakkan Djarum menjadi jenama rokok terkemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 9:48 AM