GAUTAM Adani. FOTO fail AFP
GAUTAM Adani. FOTO fail AFP
AFP

Mumbai: Usahawan India, Gautam Adani menjadi orang kedua terkaya di dunia tercatat dalam daftar nyata Forbes pada Jumaat, beberapa minggu selepas menjadi orang Asia pertama yang menduduki kedudukan tiga teratas sebelum ini.

Nilai bersih jutawan itu melonjak AS$4 bilion (kira-kira RM18.14 bilion) semalaman kepada AS$154 bilion (kira-kira RM698.5 bilion) menurut Forbes, meletakkannya di hadapan Bernard Arnault dari LVMH dan Jeff Bezos dari Amazon.

Pengasas Tesla, Elon Musk kekal di hadapan dengan kekayaan lebih daripada AS$270 bilion (kira-kira RM1.2 trilion).

Adani, 60, mengaut kekayaannya dalam perdagangan pelabuhan dan komoditi, kini turut mengendalikan konglomerat kedua terbesar di India dengan kepentingan dalam perlombongan arang batu serta minyak ke lapangan terbang selain industri media.

Nilai bersihnya melonjak itu mencerminkan peningkatan dalam permodalan pasaran syarikatnya yang tersenarai awam, apabila pelabur menyokong pengembangan agresif perniagaan lama dan baharu Kumpulan Adani.

Sebanyak 75 peratus saham dalam syarikat perdana Adani Enterprises dimiliki jutawan itu, sudah melonjak lebih 2,700 peratus sejak Mac 2020, dan meningkat dua kali ganda nilainya dalam tempoh enam bulan lalu.

Lonjakan harga saham dalam syarikat kumpulan lain termasuk Adani Transmission, Adani Power, Adani Ports dan Adani Green Energy melonjakkan Adani sehingga mengatasi rakan jutawan India, Mukesh Ambani, tahun ini.

Anggaran penganalisis menunjukkan permodalan pasaran tujuh syarikat tersenarai Adani juga secara ringkas mengatasi syarikat Kumpulan Tata pada pagi Jumaat, menjadikan Kumpulan Adani sebagai konglomerat terbesar di India.

Dilahirkan di bandar Ahmedabad di negeri barat Gujarat dalam keluarga kelas pertengahan, Adani berhenti daripada kolej untuk bekerja dalam industri berlian sebelum memulakan perniagaan eksport pada 1988.

Pada 1995, beliau memenangi kontrak untuk membina dan mengendalikan pelabuhan perkapalan komersial di Mundra di Gujerat, yang sudah berkembang menjadi pelabuhan terbesar di India.

Pada masa sama, Adani mengembangkan sayapnya terbabit dalam industri penjanaan kuasa haba dan perlombongan arang batu di India dan luar negara.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, konglomerat itu menceburi bidang petrokimia, simen, pusat data dan penapisan tembaga, di samping menubuhkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 10:41 AM