Elon Musk. - FOTO Reuters
Elon Musk. - FOTO Reuters
Nur Amira Mohd Hedzer


Kuala Lumpur: Sebilangan besar golongan ultra-kaya menyaksikan peningkatan kekayaan mereka ketika pasaran saham global meningkat, dengan lebih separuh daripada 2,568 bilionair di seluruh dunia lebih kaya pada tahun ini, demikian menurut Forbes.

Berdasarkan anggaran majalah perniagaan antarabangsa itu, 10 bilionair yang merekodkan kenaikan tertinggi tahun ini secara terkumpul menambah AS$490 bilion (RM2.3 trilion) kekayaan mereka setakat 15 Disember lalu.

"Tujuh daripada 10 teratas merupakan billionair daripada bidang teknologi. Walaupun 2022 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran untuk teknologi, namun pada tahun ini ia telah menjadi tahun pemulihan, terutama kepada Indeks Nasdaq yang banyak terdiri daripada teknologi.

"Tahun ini, ia melonjak sebanyak 42 peratus, hampir dua kali ganda kenaikan daripada 23 peratus sebelumnya dengan tujuh daripada saham terhebat adalah daripada Apple, Microsoft, Alphabet, Amazon, Nvidia, Tesla, dan Meta.

"Dari segi nilai dolar Amerika Syarikat (AS), tiada sesiapa yang menjadi lebih kaya pada tahun ini selain Elon Musk, di mana beliau telah digelarkan sebagai 'billionaire automotif' dan kebanyakan wang miliknya datang daripada syarikat kereta Tesla," katanya dalam satu kenyataan.

Permulaan tahun 2023, Elon Musk adalah individu kedua terkaya di dunia, dianggarkan bernilai kira-kira A$146.5 bilion.

Menurutnya, ini terjadi selepas beliau kehilangan lebih banyak wang miliknya pada tahun 2022, namun pada akhir tahun ini, beliau kembali menduduki tempat pertama, menambah nilai kekayaannya lebih daripada AS$108 bilion, peningkatan yang ketara dalam saham Tesla.

Katanya, hanya dua daripada individu yang mencatatkan kenaikan terbesar tahun tahun ini adalah dari luar Amerika Syarikat (AS).

"Prajogo Pangestu, ahli perniagaan dari Indonesia yang berada di dalam bidang petrokimia dan tenaga, telah mendapat manfaat terbesar dalam peratusan lebih daripada 900 peratus.

"Antara individu yang lain juga adalah seperti Amancio Ortega, seorang tokoh dari Sepanyol yang terbabit dalam rangkaian kedai pakaian Zara," katanya.

Berikut adalah 10 bilionair yang mencatatkan peningkatan kekayaan terbesar pada 2023:

1.Elon Musk

Sumber kekayaan: Tesla, SpaceX

Kekayaan bersih: AS$254.9 bilion (+AS$108.4 bilion)

2.Mark Zuckerberg

Sumber kekayaan: Facebook

Kekayaan bersih: AS$118.6 bilion (+AS$74.8 bilion)

3. Jeff Bezos

Sumber kekayaan: Amazon

Kekayaan bersih: AS$172.3 bilion (+AS$65 bilion)

4.Prajogo Pangestu

Sumber kekayaan: Pelbagai

Kekayaan bersih: AS$52.8 bilion (+AS$47.9 bilion)

5.Larry Page

Sumber kekayaan: Google

Kekayaan bersih: AS$111.7 bilion (+AS$34.4 bilion)

6.Amancio Ortega

Sumber kekayaan: Zara

Kekayaan bersih: AS$97.4 bilion (+AS$33.2 bilion)

7.Sergey Brin

Sumber kekayaan: Google

Kekayaan bersih: AS$107.3 bilion (+AS$33 bilion)

8.Steve Ballmer

Sumber kekayaan: Microsoft

Kekayaan bersih: AS$110.9 bilion (+AS$32.4 bilion)

9.Larry Ellison

Sumber kekayaan: Oracle

Kekayaan bersih: AS$133.2 bilion (+AS$30.8 bilion)

10.Jensen Huang

Sumber kekayaan: Nvidia

Kekayaan bersih: AS$43.6 bilion (+AS$29.8 bilion)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 2:59 PM