GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk pegawai polis berpangkat inspektor dan sarjan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah RM100,000.

Ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan sekitar ibu negara antara 7 malam hingga 12 tengah malam.

Menurut sumber, pegawai dan anggota terbabit disyaki meminta rasuah berjumlah RM100,000 daripada seorang pegawai polis kononnya bagi menutup kes yang sedang disiasat SPRM.

"Seorang lagi suspek ditahan adalah pengurus pentadbiran syarikat yang berperanan sebagai orang tengah bagi meminta dan menerima wang rasuah itu.

"Pengurus syarikat itu ditahan ketika menerima wang rasuah berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah yang diminta daripada mangsa," katanya.

Sumber berkata, susulan penahanan itu SPRM menahan Inspektor dan Sarjan terbabit bagi membantu siasatan.

Pengurus syarikat direman empat hari bermula semalam sehingga 12 September ini selepas pihak SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Bagaimanapun, pegawai dan anggota polis dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 6:56 PM