SPRM menahan seorang penjawat awam meminta suapan kerja-kerja sanitasi di pusat mengundi di Johor di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ihsan SPRM
SPRM menahan seorang penjawat awam meminta suapan kerja-kerja sanitasi di pusat mengundi di Johor di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ihsan SPRM
Samadi Ahmad

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang kakitangan sebuah agensi kerajaan yang dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai kira-kira RM100,000.

SPRM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pegawai berusia 30-an itu disyaki meminta 'habuan' sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja-kerja berkaitan sanitasi pusat-pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor, baru-baru ini.

Menurutnya, suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja-kerja berkaitan sanitasi, namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000.

Katanya, suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

Beliau berkata, penjawat awam itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, lelaki itu ditahan reman selama empat hari yang berakhir pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 12:08 PM