GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas disyaki meminta suapan berjumlah kira-kira RM30,000 daripada pemilik sebuah syarikat.

Sumber berkata, lelaki berusia 40-an terbabit ditahan di sebuah kafe di Subang Jaya, Selangor, kira-kira 4 petang.

"Suspek dipercayai meminta wang berjumlah kira-kira RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan menutup kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tajaan penerbitan sebuah buletin.

"Suspek menghubungi pemilik syarikat berkenaan pada Oktober lalu meminta wang berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan dibawa SPRM bagi permohonan reman di Mahkamah Shah Alam, Selangor, pada 8.30 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 8:34 PM