GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang pengurus gudang sebuah syarikat rangkaian kedai serbaneka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM8,000.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, pada 3.30 petang tadi.

"Berdasarkan siasatan, suspek disyaki meminta dan menerima rasuah RM8,000 daripada pengurus syarikat pemasaran dan jualan.

"Ia sebagai dorongan untuk mendapatkan tambahan kerja penghantaran barang," katanya.

Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan terbabit di daerah Subang Jaya pada Oktober 2022.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 10:38 PM