SEBAHAGIAN 18 anak Sitdek  Ahmad Ali semasa kecil. FOTO Ihsan Sitdek
SEBAHAGIAN 18 anak Sitdek Ahmad Ali semasa kecil. FOTO Ihsan Sitdek
Nazri Abu Bakar


Melaka: Memiliki 18 anak, 43 cucu dan dua cicit amat disyukuri warga emas, Sitdek Ahmad Ali kerana masih diberi kesihatan yang baik dan dikelilingi darah daging bahagia.

Sitdek, 64, mengakui semua rezeki dan anugerah Allah SWT untuk dia cekal menjalani kehidupan selain taat kepada suruhannya dalam melalui perjalanan hidup penuh ujian dan halangan sebelum menuju saat kematian kelak.

Menurutnya, dia pernah berkahwin 12 kali, namun kini hanya tinggal isteri ke-12 sementara yang lain berpisah hidup dan ada yang meninggal dunia.

Katanya, menerusi perkahwinan dengan isteri pertama, dia dianugerahkan 11 anak, sementara isteri ke-12, Azlina Yaakob, 46, yang kekal sehingga kini dikurniakan empat cahaya mata termasuk yang bongsu berusia 13 tahun.

"Tiga lagi membabitkan dua anak angkat yang dipelihara sejak kecil dan seorang anak anak tiri, sekali gus melengkapkan 18 anak semuanya.

"Dalam perjalanan hidup saya turut merakamkan hubungan tidak panjang membabitkan isteri kedua hingga ke-11, malah mereka tidak dikurniakan zuriat sendiri.

"Apapun saya gembira dalam tempoh perkahwinan berkenaan dan semua anak saya serta bekas isteri dan ibu tiri mereka amat mesra.

"Hubungan kekeluargaan terjalin dengan erat termasuk berkumpul bersama-sama ketika sambutan hari raya," katanya yang juga pemegang rekod Malaysia Book of Records (MBR) sebagai penarik lanca sejauh 2,280 kilometer (km).

Sitdek berkata, tiada sebarang masalah kerana yang penting mereka tahu peranan masing-masing termasuk sebagai anak, isteri, menantu dan cucu yang sentiasa berkerjasama dalam semua aspek.

Menurutnya, menurutnya, walaupun berlainan ibu termasuk anak angkat dan ibu tiri, kasih sayangnya terhadap mereka tetap sama.

"Seingat saya, semua anak lahir di hospital kecuali anak sulung yang kini berusia 43 tahun yang lahir di rumah.

"Saya masih mengingati nama setiap anak, namun sebahagian nama cucu sukar diingati serta dua cicit kerana faktor usia dan jumlah mereka yang ramai," katanya yang bekerja sendiri.

Sitdek mengakui banyak cabaran dan tanggungjawab perlu digalas terutama semasa mereka kecil kerana memerlukan perbelanjaan besar dalam aspek perbelanjaan harian dan sekolah.

Namun, dia bersyukur semuanya dilalui dengan tabah dan cekal walaupun terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan mereka sekeluarga.

Katanya, kini dia lega kerana hanya dua saja anak masih bersekolah manakala yang lain sudah berkeluarga, bekerja dan membantu adik yang kecil, sekali gus meringankan bebannya sebagai ketua keluarga.

Sementara itu, salah seorang anaknya, Muhammad Osama, 22, berkata, hubungan mereka adik beradik amat rapat dan saling bertukar pandangan selain sering membantu ayahnya yang bekerja sendiri.

Menurutnya, dia seronok memiliki ramai adik beradik kerana pelbagai aktiviti dapat dilakukan dengan lebih cepat menerusi konsep kerja bergotong-royong dalam suasana ceria dan dijayakan menerusi semangat kekeluargaan.

"Seronoknya jika berkumpul ramai-ramai sambil bertanya khabar. Walaupun sukar mengingati nama anak saudara yang ramai, tetap gembira dengan pelbagai ragam dan peristiwa.

"Selalunya kami berkumpul di kampung di Negeri Sembilan, tetapi pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu membataskan pertemuan pada sambutan Aidilfitri.

"Kami kami mengharapkan tahun ini dapat dipertemukan dengan seramai mungkin ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 1:13 PM