SITDEK memulakan misinya di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah Pekan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
SITDEK memulakan misinya di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah Pekan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


SITDEK Ahmad Ali, 63, menyambung semula pusingan kedua misi kayuhan solonya ke Makkah di Pekan, hari ini.

Warga emas itu berkata, sudah berkayuh sejauh 700 kilometer (km), menyambung fasa pertama yang tertangguh disebabkan banjir di Kuantan pada Disember tahun lalu.

Ketika musim tengkujuh itu, dia sempat meredah banjir di Kampung Cendor, Kuantan yang menyebabkan beberapa komponen basikalnya rosak dan misi itu tertangguh.

“Ketika menyelesaikan fasa pertama yang bermula di Negeri Sembilan pada 1 Mei 2019, semuanya lancar dan perjalanan sejauh 2,700 km hanya menukar dua kali sahaja tayar basikal.

“Sepatutnya fasa kedua sejauh 2,100 km sudah selesai, namun disebabkan musim tengkujuh, maka berlaku sedikit kelewatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah.

Sitdek berehat di masjid itu sebelum menyambung semula perjalanan ke Johor melalui Jalan Rompin-Mersing.

Datuk kepada 42 cucu itu menjelaskan sudah mengumpul dana sebanyak RM20,000 hasil jualan buku agama dan sumbangan, untuk menunaikan haji pada tahun ini menerusi misi itu.

“Setiap hari saya berkayuh sejauh 50 km dan berehat di surau atau masjid. Sebaik fasa kedua hingga ke Utara Semenanjung selesai, saya akan teruskan perjalanan ke negara jiran seperti Thailand dan Vietnam,” katanya.

Warga emas itu juga berharap misinya menjejakkan kaki ke tanah suci dengan menunggang basikal lancar dan dia diberi kesihatan baik.

Berita berkaitan

Misi kayuh dari Gemas ke Mekah

Mahu berbasikal ke Makkah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 5:58 PM