Sitdek Ahmad Ali membantu kerja-kerja membaiki rumah yang dilanda ribut di Desa Sri Chepor, Ipoh. FOTO Ihsan Sitdek.
Sitdek Ahmad Ali membantu kerja-kerja membaiki rumah yang dilanda ribut di Desa Sri Chepor, Ipoh. FOTO Ihsan Sitdek.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Misi pemegang rekod Malaysia Book of Records (MBR) sebagai penarik lanca sejauh 2,280 kilometer (km), Sitdek Ahmad Ali, membantu mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh, Perak, selesai dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.

Dalam misi memberi bantuan itu dia sempat memasang atap, membuka bahagian bumbung rosak selain membersihkan kawasan rumah dipukul ribut.

Sitdek, 64, berkata, dia bersama tujuh ahli keluarganya membantu membaik pulih tiga rumah penduduk di Desa Sri Chepor.

Menurutnya, dia gembira kerana penghuni rumah terbabit menyambut baik bantuan mereka, sekali gus melengkapkan misi sehari itu sehingga lewat petang semalam, sebelum bertolak pulang pulang ke Melaka.

"Kerja baik pulih giat dilakukan menerusi bantuan sukarelawan, kontraktor dan pihak berkenaan di Kampung Tawas dan Taman Tasek yang turut dilanda puting beliung.

"Kami amat teruja memberi bantuan kepada tiga penghuni kediaman itu dan mereka turut menjamu kami makan selepas selepas kerja bantuan.

"Keseluruhan kami mengeluarkan perbelanjaan hampir RM1,000 termasuk duit minyak bagi dua kenderaan. Bantuan kami lebih kepada tenaga kerja menerusi kemahiran yang ada," katanya.

Sitdek yang aktif membantu mangsa bencana banjir dan ribut menggunakan wang sakunya sendiri sejak 11 tahun lalu gembira keadaan kembali tenang di kawasan terbabit.

Sementara itu, anaknya, Mohd Hasbullah, 16, berkata dia gembira dapat membantu meringankan beban mangsa ribut di kawasan terbabit.

Menurutnya, khidmat masyarakat itu kali kedua buatnya selepas turut membantu mangsa banjir di Pahang, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 2:36 PM