SITDEK Ahmad Ali.
SITDEK Ahmad Ali.
Raja Noraina Raja Rahim


“ITU adalah fitnah dan saya reda. Saya anggap mereka yang terus buat tohmahan terhadap saya itu seperti ‘anjing menyalak bukit’.

“Apa yang berlaku ini tidak sesekali mematahkan semangat saya sebaliknya saya akan meneruskan hasrat ke Makkah,” kata Sitdek Ahmad Ali, 62, ketika mengulas mengenai dakwaan dia tidak meneruskan Misi Kayuhan ke Makkah dan menggunakan dana terbabit untuk membeli kenderaan.

Sitdek berkata, ada individu yang dipercayai sengaja menyebarkan fitnah itu menerusi Facebook (FB) dan menjadi tular sehingga menyebabkan dia dicaci serta dikeji netizen tanpa usul periksa.

Katanya, dia masih meneruskan misi itu tetapi terpaksa pulang ke rumah di FELDA Palong, Jempol, selepas terkandas di Kuantan, Pahang akibat banjir, pada 19 Disember lalu.

“Basikal saya masih berada di Kuantan, di rumah seorang rakan saya. Dia yang menasihati saya supaya pulang dulu sementara menunggu keadaan kembali pulih. Malah, dia juga yang menghantar saya ke rumah.

“Saya akan meneruskan kayuhan mengumpul dana seperti yang dijadualkan selepas ini. Misi saya ke Makkah pada tahun depan tetap saya laksanakan walaupun mungkin berdepan pelbagai cabaran antaranya melalui sempadan dua negara, pergolakan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan dia membeli kenderaan baharu menggunakan wang dana, Sitdek menafikan tuduhan itu dan memaklumkan dia membelinya menggunakan wang pendapatan sebagai peneroka selain simpanan daripada pemberian anak-anak.

“Saya mempunyai 10 anak dan kebanyakannya sudah bekerja, secara logiknya sudah tentu mereka memberikan wang kepada saya serta isteri. Tidak pernah saya ceritakan (hal peribadi) kepada semua orang dan saya rasa tidak perlu pun untuk saya beritahu.

“Namun saya tak sangka pula (beli kenderaan) akan jadi isu. Saya beli kereta terpakai menggunakan wang hasil jualan kuda, manakala motosikal baharu pula milik anak saya yang dibeli menggunakan wang yang dipulangkan oleh pemilik motosikal lama kerana ada masalah dokumentasi,” katanya.

Katanya, pada mulanya, dia mahu mengambil pendekatan berdiam diri.

Namun, disebabkan isu itu menjadi semakin hangat, dia akhirnya tampil memberi penjelasan kerana tidak mahu orang ramai salah sangka terhadap dirinya.

Mengulas mengenai kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mengumpul dana untuk melaksanakan misi kayuhan ke Makkah, Sitdek berkata, dia sudah menamatkan pusingan pertama membabitkan jarak 10,000 kilometer (km) sejak Mei lalu dan kini hanya berbaki lebih 5,000 km.

Selepas itu, dia akan melalui beberapa negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Afghanistan, Iran, Arab Saudi dan Makkah untuk menunaikan ibadah haji atau umrah tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 1:36 PM