KAKA muncul dengan single terbaharu berjudul Janjiku. FOTO Faiz Anuar
KAKA muncul dengan single terbaharu berjudul Janjiku. FOTO Faiz Anuar
Syafil Syazwan Jefri

Perjalanan karier seni figura bernama Kaka Azraff bukanlah semudah yang disangka.

Berjaya membawakan lagu berjudul Gila sehingga karya itu diangkat sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) baru-baru ini sekali gus membuktikan kemampuan dan kematangan lantunan vokal Kaka.

Tidak sekadar vokal, penjiwaan Kaka juga semakin matang, seiring dengan fasa hidupnya yang kini bergelar isteri dan ibu.

Berkesempatan bertemu Kaka baru-baru ini, penyanyi dan pelakon yang juga anak saudara kepada Ratu Rock, Ella Aminuddin tidak lokek berkongsi kisah perjalanan kehidupan dan kariernya yang mungkin belum ramai tahu.

"Sembilan tahun lalu, saya memulakan karier seni saya dan diperkenalkan oleh Zizan Razak. Tentunya, saya sangat berterima kasih atas jasanya kepada saya.

"Pada ketika itu, kehidupan saya benar-benar satu perjuangan. Saya tak ada kerja dan tak ada duit.

"Apabila mula mendapat tawaran menyanyi, saya pernah masuk ke kedai menjual alat kosmetik untuk gunakan alat solek contoh sebab saya tak ada duit," katanya.

Mengimbau kenangannya itu, Kaka juga turut berkongsi mengenai fasa awal perkenalan dengan suaminya, Adam Azriff yang berdepan dengan pelbagai dugaan.

"Ketika kami buat keputusan untuk berumah tangga, ramai yang tak yakin dengan keputusan dibuat.

"Pada ketika itu, Adam juga masih goyah dari sudut karier. Namun, orang tak tahu bahawa dia adalah lelaki yang sangat rajin dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki kehidupan kami," katanya.

Menurut Kaka, apa yang berlaku sedikit sebanyak membuatkan Adam tertekan.

"Ada yang bertanya sama ada mampukah dia menanggung kami sekeluarga selepas berkahwin. Sedikit sebanyak, persoalan itu membuatkannya sedikit tertekan.

"Namun, saya yakin, apabila kita berjumpa dengan pasangan yang tepat, hanya kita sahaja yang tahu apa yang kita lalui.

"Kini, saya berasa keputusan yang diambil ketika itu adalah yang terbaik dan tepat," katanya.

KAKA bersama suami, Adam Azriff. FOTO Faiz Anuar
KAKA bersama suami, Adam Azriff. FOTO Faiz Anuar

Letak harga?

Ditanya mengenai harga yang diletakkannya selepas menjuarai AJL35, Kaka masih lagi menganggap dirinya banyak kekurangan dan tidak ada perancangan untuk menaikkan harga.

"Saya rasa, belum masanya untuk saya meletakkan harga yang tinggi. Saya menang di AJL35 pun disebabkan lagu dan lagu itu yang diiktiraf sebagai juara.

"Bagi saya, kemenangan itu juga adalah dugaan sebab sejujurnya, saya sentiasa berasakan bahawa orang tak pandang pun saya.

"Tapi, selepas menang, tentunya banyak persoalan yang bermain dalam fikiran saya mula terjawab," katanya.

Terbaharu, Kaka muncul dengan single berjudul Janjiku, hasil ciptaan MFMF dan Tysha Tiar.

"Janjiku adalah karya yang begitu dekat dengan kisah hidup saya. Saya sedikit beremosi apabila berbicara mengenai karya ini kerana banyak yang saya sudah lalui.

"Secara ringkasnya, ia mengisahkan mengenai janji dalam sesuatu hubungan. Saya cuba memaparkan realiti sebenar dalam kehidupan berumah tangga.

"Ada kalanya kita bahagia. Ada juga ketikanya, sesuatu pasangan itu akan berdepan konflik dan saya tak nafikan, saya dan suami juga tak terlepas daripada situasi itu," katanya.

Kaka berharap agar karya dendangannya itu akan diterima baik oleh pendengar dan peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:01 AM