KAKA dan suami teruja untuk menimang cahaya mata.
KAKA dan suami teruja untuk menimang cahaya mata.
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi Kaka Azraff berkongsi berita gembira dirinya kini hamil empat bulan.

Kaka, 30, ketika ditemui berkata, dia tidak berniat menyembunyikan kandungannya sebelum ini tetapi menghormati permintaan suami.

“Doktor juga menasihatkan saya supaya tidak menguar-uarkan berita kehamilan ini kerana masih dalam trimester pertama.

“Alhamdulillah, sekarang masanya untuk saya mengumumkan berita kehamilan ini kepada pihak media.

“Saya dan suami sangat gembira kerana kami memang inginkan cahaya mata,” katanya.

Ditanya mengenai alahan, Kaka atau nama sebenarnya Noor Atiqa Noor Azraff berkata, dia berdepan keadaan itu di peringkat awal kehamilan.

Kini dia semakin kuat dan bersedia untuk aktif bekerja. Kaka berkata, dia juga menjalani puasa Ramadan dan setakat ini semuanya dapat dilakukan dengan lancar.

Masih tidak mengetahui jantina kandungan, penyanyi lagu Bukan Hal Aku dan Tepi Sikit itu berkata, dia dan suami tidak kisah dikurniakan anak sulung lelaki atau perempuan.

“Apa yang kami doakan semoga urusan bersalin yang dijangka hujung tahun ini dipermudahkan Allah SWT dan bayi pun sihat,” katanya.

Kaka bernikah dengan lelaki pilihannya, Adam Azriff pada 27 November tahun lalu.

AWAL kehamilan, Kaka turut alami alahan.  FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
AWAL kehamilan, Kaka turut alami alahan. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:53 PM