KAKA mahu anak besar depan mata, nekad jadi ibu terbaik.  FOTO: Aziah Azmee
KAKA mahu anak besar depan mata, nekad jadi ibu terbaik. FOTO: Aziah Azmee
Najiy Jefri


KEHADIRAN cahaya mata lelaki, Aslan hasil perkahwinan dengan Adam Azriff nyata membuatkan hidup penyanyi Kaka Azraff lengkap.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Bukan Hal Aku mengakui kehadiran Aslan yang kini berusia 10 bulan menjadi pengikat kasih mereka berdua.

Kaka berkata, pengalaman kali pertama bergelar ibu bukan tanggungjawab yang mudah, tetapi membantu dirinya untuk menjadi ibu terbaik.

"Ini pengalaman pertama saya menjadi ibu dan ia sememangnya mencabar. Bagaimanapun, saya percaya situasi ini akan berlalu dan saya akan rindui momen ini.

"Aslan tidak boleh berenggang, meski jika ada yang pegang dia bersebelahan saya sekalipun, dia tetap akan menangis dan mahu saya dukung. Malah kalau bersama dengan bapanya, dia tetap akan begitu.

KAKA tampil dengan single Gila berkolaborasi bersama bakat muda, Loca B (kiri) dan Noki daripada kumpulan K-Clique.  FOTO: Aziah Azmee
KAKA tampil dengan single Gila berkolaborasi bersama bakat muda, Loca B (kiri) dan Noki daripada kumpulan K-Clique. FOTO: Aziah Azmee

"Kadang-kadang kalau saya sibuk nak buat kerja rumah, memang agak mencabar. Saya nak ambil pembantu rumah pun tak boleh kerana keadaannya yang begitu.

"Saya nekad untuk besarkan Aslan sendiri tanpa bantuan pembantu rumah. Bagi saya, lebih baik saya melihat dia membesar di depan mata dan secara tak langsung membantu untuk belajar jadi ibu yang lebih baik," katanya.

Menurut Kaka, melihat keadaan Aslan yang kuat meragam dan tidak boleh berjauhan, dia nekad untuk mendapatkan komen pakar mengenai masalah yang dihadapi.

"Semuanya baik-bak saja dan doktor memberitahu, keadaan itu normal dan mempunyai fasa sendiri.

"Umurnya pun baru 10 bulan, jadi dia hanya kenal ibu dan bapanya. Doktor juga ada menyebut Aslan kemungkinan tidak yakin dengan orang lain kecuali ibu bapanya.

"Jadi sekarang ini saya kena rancang kerja dan tak boleh macam dulu. Menjadi seorang ibu sedikit sebanyak mengajar saya untuk menjadi orang yang lebih peka dan tersusun," katanya.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff turut merancang menambah cahaya mata.

"Saya tak kisah sekiranya diberikan rezeki mengandung lagi. Ini kerana saya bukannya 'makin muda', usia makin bertambah. Lagipun, takkan nak tunggu Aslan besar baru nak tambah anak.

"Bagaimanapun, saya dan suami tidak merancang, kami serahkan rezeki pada Allah. Kalau ada rezeki, kami terima. Suami pun terbuka soal ini. Kalau boleh nak tambah tiga atau empat anak lagi," katanya.

Suami baik

Jika sebelum ini Kaka mendedahkan suaminya menghidap gangguan kecelaruan bipolar dan Obsesif Kompulsif (OCD), namun Kaka bersyukur Adam menunjukkan maklum balas yang baik sejak mempunyai zuriat.

"Alhamdulillah, penyakit yang dialami Adam sebelum ini berjaya diatasi dengan baik sejak kami berkahwin dan mempunyai Aslan.

"Saya percaya cara hidup yang lebih tersusun selepas berkahwin membuatkan tiada tekanan dalam dirinya.

"Lagipun, sekarang ini dia juga sibuk menjaga dan membahagikan masa dengan anak. Fokusnya sudah ke arah itu sekarang ini," katanya.

Gila

Dalam perkembangan lain, Kaka tampil dengan single Gila berkolaborasi bersama bakat muda, Loca B dan Noki daripada kumpulan K-Clique.

Single terbitan komposer, Ezra Kong itu dikatakan karya segar untuk industri muzik tempatan.

"Sudah lama saya berhasrat berkolaborasi dengan Loca B dan Noki. Apabila Warner Music mempunyai idea yang sama, lagilah saya gembira.

"Ia seperti impian menjadi realiti. Apabila pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, kami terus merealisasikan kolaborasi ini.

"Mempunyai melodi yang lain daripada yang lain, ia mempunyai bunyi dan cara nyanyian berbeza dan unik. Malah bunyinya juga tidak kedengaran seperti tradisional mahupun pop, tetapi ia datang dalam mood yang tersendiri.

"Gila membawa mesej yang sangat positif. Ia membuatkan kita supaya yakin dan sentiasa berfikiran positif tidak takut dengan apa yang orang lain fikir," katanya.

Gila diterbitkan oleh Black Hat Cat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:00 AM