SAH sebagai suami isteri dengan sekali lafaz.
SAH sebagai suami isteri dengan sekali lafaz.
Norhadiani Baharom

“Adam adalah sahabat saya, namun beberapa bulan kebelakangan ini persahabatan bertukar menjadi hubungan istimewa. Di antara kami juga ada keserasian,” kata penyanyi dan pelakon, Kaka Azraff, 29, yang melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan, Adam Azriff, 25, Jumaat lalu.

Kaka ketika ditemui selepas selesai majlis berkata, dia bersyukur kerana majlis berjalan lancar dan kini bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“Insya-Allah saya sudah bersedia dan berharap dapat memikul tanggungjawab baru ini dengan baik,” katanya kepada RAP.

Kaka berkata, Adam juga seorang lelaki yang ikhlas menerima dirinya seadanya.

Menurut Kaka, mereka mengambil keputusan bernikah kurang sebulan daripada tempoh merisik pada 27 November lalu kerana enggan melengahkan perkara yang baik.

Majlis pernikahan pasangan ini yang bertemakan Melayu Klasik diadakan secara tertutup di kediaman jurusolek terkenal yang juga ibu saudaranya, Saidatul Nisa Aminuddin.

Kaka yang ditemani ibunya, Redida Aziz diwalikan bapa saudaranya Nor Izam Aminuddin dan dinikahkan Jurunikah Rujuk dan Cerai Klang Ustaz Azmi Selamat dengan mas kahwin RM300.

Pihak perempuan menyediakan tujuh dulang hantaran dan dibalas lima oleh pihak lelaki. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.

Kaka juga anggun dalam persalinan serba putih rekaan Tangsi Tujuh dan dirias cantik oleh jurusolek, Emmy Agung.

Sementara itu, Adam berkata, dia menyukai Kaka kerana sikap terbukanya, gila-gila dan kesederhanaan dimiliki penyanyi yang popular dengan lagu Bukan Hal Aku dan Sibuk itu.

Selain itu, dia mengagumi Kaka yang disifatkan sebagai seorang yang berdikari.

“Sama seperti saya, Kaka juga menerima diri saya seadanya. Dia bukan saja kekasih tetapi juga sahabat.

“Insya-Allah, saya akan terus menyokong karier seni Kaka dan tidak akan menghalangnya kerana percaya Kaka pandai jaga diri,” katanya.

Belum menetapkan destinasi berbulan madu, pasangan ini ingin memberi fokus terlebih dulu pada majlis resepsi mereka yang akan diadakan pada 22 Disember ini, membabitkan tetamu terdiri daripada keluarga, peminat, rakan artis dan media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 6:00 AM