SINGLE terkini papar perjalanan menempuh alam baharu apabila bakal bergelar ibu.
SINGLE terkini papar perjalanan menempuh alam baharu apabila bakal bergelar ibu.
Ramlah Zainal

BUKAN saja bingkisan istimewa untuk peminat, single terbaharu Diamonds juga cukup bermakna buat Kaka Azraff selepas berumah tangga.

Bagi pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, Diamonds memaparkan perjalanannya menempuh alam baharu kerana bakal bergelar ibu dalam tempoh terdekat ini.

Secara peribadi, kata Kaka, single Diamonds cukup istimewa dan sangat dekat dengan dirinya.

“Single ini menceritakan kebahagiaan itu bukan terletak pada harta atau berlian, sebaliknya kegembiraan yang dikecapi ketika ini.

“Diamonds juga boleh dikaitkan dengan bermacam ujian yang perlu kita lalui sebelum bertemu sesuatu yang berharga dalam hidup,” katanya.

Kata Kaka, single Diamonds turut menggambarkan kebahagiaan yang dikecapinya ketika ini sekali gus simbolik cinta terhadap suaminya, Adam Azriff.

“Diamonds menggambarkan perasaan saya melayari kehidupan berumah tangga bersama suami dan seterusnya bakal dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata.

“Saya sangat bersyukur dikurniakan suami yang baik seperti Adam dan berharap kebahagiaan ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Kaka berkahwin dengan Adam Azriff pada 14 Disember lalu.

SELESA DENGAN SENTUHAN ALIF

Single terbaharu Kaka berjudul Diamonds dihasilkan oleh komposer dan penyanyi rap, Alif.

Menurut Kaka, dia selesa bekerjasama dengan Alif kerana komposer itu mengetahui cita rasa lagu yang sesuai dengan kemampuan vokalnya.

“Sebenarnya, Alif banyak menghasilkan lagu untuk dirinya sendiri tetapi lagu itu akhirnya diberikan kepada saya.

“Namun, saya tidak menolak untuk bekerjasama dengan komposer lain jika ada lagu yang sesuai dan menarik pada masa depan,” katanya.

Ditanya kenapa dia memilih melancarkan lagu dalam keadaan sarat mengandung, kata Kaka, dia percaya sekarang waktu tepat untuk melancarkan single terbabit.

“Saya akan cuti bersalin dan menjalani tempoh berpantang yang panjang selepas melahirkan anak sulung nanti. Sebab itu saya lancarkan dulu single ini sebelum berehat.

“Proses rakaman single ini berlangsung ketika usia kandungan mencecah empat bulan. Malah, saya juga memilih model untuk menjayakan video muzik rasmi single Diamonds kerana kandungan sudah sarat dan hanya menanti hari untuk bersalin pada bila-bila masa.

“Rakaman video muzik rasmi single Diamonds dilakukan dua minggu lalu,” katanya. Menurut Kaka, single Diamonds juga untuk mengubat kerinduan peminatnya.

“Ramai peminat bertanya bila saya mahu muncul dengan lagu baharu?

“Single Diamonds adalah bingkisan hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong dan bersama saya sejak mula berkecimpung dalam bidang seni,” katanya.

Kali terakhir Kaka menghasilkan tiga single pada tahun lalu iaitu Sibuk, Shout It Out (lagu runut bunyi filem Gol & Gincu Volume 2) dan duet bersama penyanyi Maya Karin menerusi lagu, Getaway.

Single Diamonds terbitan dan edaran Warner Music Malaysia mula diperkenalkan di semua pelantar digital sejak 6 September lalu.

Video muzik rasmi lagu ini sudah boleh ditonton di YouTube Warner Music Malaysia.

Single Diamonds juga boleh didapati di semua pelantar digital seperti Sportify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.L

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:25 AM