Shamran Sarahan dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara kembali kepada satu angka dengan merekodkan sembilan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,840 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu, tiga daripadanya kes import yang pulang dari India, Singapura dan Filipina.

Beliau berkata, enam baki kes berkaitan penularan tempatan membabitkan empat kes direkodkan di Sarawak, satu kes di Sabah dan satu lagi kes di Kelantan.

"Daripada sembilan kes itu, enam daripadanya jangkitan dalam kalangan warga Malaysia, manakala tiga kes membabitkan jangkitan bukan warganegara.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 143 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes yang pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj wad sebanyak 8,574 kes, 96.99 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, hanya lima pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 123 kes, 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
    Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 5:21 PM