Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK tujuh jangkitan baharu Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 9,219 kes dengan jumlah kes aktif 192 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada tujuh kes baharu itu, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warga negara Malaysia dan dua warga asing.

"Tiga lagi kes membabitkan penularan dalam negara iaitu warga negara Malaysia di Kedah. Dua kes daripada Kluster Sala dan satu kes daripada Kluster Tawar," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat 26 kes yang sudah pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,902 kes atau 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 125 kes," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 5:50 PM