Shamran Sarahan


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan lima kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,648 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lima kes baharu yang dilaporkan itu, tiga daripadanya kes import membabitkan warga Malaysia yang masing-masing pulang dari Qatar, Turki dan Oman.

Katanya, baki dua kes lagi berkaitan penularan tempatan dengan kedua-dua jangkitan itu berlaku di Kota Kinabalu dan Ranau, Sabah membabitkan warga tempatan.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 81 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat sembilan kes yang pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj wad sebanyak 8,446 kes, 97.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, hanya dua pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua lagi pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 121 kes, 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 5:48 PM