SAIFUL  bersama sebahagian koleksi Ultraman.
SAIFUL bersama sebahagian koleksi Ultraman.
Nazarali Saeril


KUALA LUMPUR: Kisah cereka sains Ultraman ciptaan Eiji Tsuburaya disiarkan julung kalinya di Jepun pada 17 Julai 1966 dan sejak itu watak penentang raksasa ini terus popular hingga kini.

Sejak 1966, Presiden Kelab Ultraman Maniac Saiful Iskandar berkata, watak Ultraman itu melalui banyak transformasi dan secara teknikalnya, ia boleh dibahagikan kepada tiga generasi.

“Bagi generasi pertama, ia digelar era Showa dan bermula pada 1966 hingga 1980-an. Era Showa secara simbolik diambil daripada masa pemerintahan Maharaja Showa di negara matahari terbit itu.

“Ketika era Showa, Ultraman memiliki pelbagai nama dan antaranya Ultraman, Zoffy, UltraSeven, Ultraman Jack, Ultraman Ace, Ultraman Taro, Ultraman Leo, Astra, Ultraman Jonias dan Ultraman 80.

“Pada era ini, Ultraman paling popular antaranya ialah Ultraman Ace. Ultraman memiliki pelbagai keistimewaan dan Ultraman Ace dikenali sebagai gabungan dua manusia iaitu Hokuto (lelaki) serta Minami (perempuan),” katanya.

Menurut Saiful Iskandar, bagi generasi kedua Ultraman, ia dikenali sebagai era Heisei dan bermula pada 1990-an hingga 2018.

Watak Ultraman turut berkembang, antaranya Ultraman Great, Ultraman Powered, Ultraman Zearth, Ultraman Tiga, Ultraman Dyna dan Ultraman Gaia.

Ultraman Great ditayangkan di Australia manakala Ultraman Powered ditayangkan di Amerika Syarikat. Ultraman Tiga pula popular kerana ia Ultraman pertama yang boleh berubah bentuk kepada dua iaitu Power Type yang berwarna merah dan Sky Type yang berwarna ungu.

“Bagi generasi ketiga Ultraman, ia dikenali sebagai era Reiwa dan bermula pada 1 Mei 2019. Era ini secara simboliknya bermula selepas Maharaja Akihito turun daripada takhta.

“Bagi era ini, tiga Ultraman diperkenalkan iaitu Ultraman Taiga, Ultraman Titas dan Ultraman Fuma. Mereka ini turut dikenali sebagai Tri Squad,” katanya.

Tidak semua mengenali watak Ultraman kerana ia datang daripada pelbagai universe dan yang pasti, perkara sama tentang mereka ialah Ultraman hanya boleh hidup di bumi selama tiga minit saja.

SETIAP figura Ultraman, raksasa serta aksesori diperoleh sama ada di pasaran tempatan atau luar negara.
SETIAP figura Ultraman, raksasa serta aksesori diperoleh sama ada di pasaran tempatan atau luar negara.

“Cukup tiga minit, lampu di dada Ultraman menyala dan ia sebagai petanda bahaya atau masa untuk bertarung semakin suntuk.

“Oleh itu, Ultraman perlu segera menamatkan pertarungan, bertukar kepada manusia biasa atau tewas ‘dimakan’ raksasa,” katanya.

Pada masa sama, tanpa raksasa, Ultraman bukan siapa-siapa. Dalam dunia cereka sains ini, raksasa paling popular ialah Alien Baltan, Gomora dan King Joe.

“Alien Baltan berasal dari Planet Baltan dan datang ke bumi hanya untuk menghancurkan planet ini. Gomora pula berasal dari bumi dan tidur di lokasi sekitar Osaka selama ribuan tahun sebelum ‘terjaga’.

“King Joe pula dihasilkan di makmal oleh Alien Pedan untuk menakluki bumi namun ia ditewaskan oleh Ultraseven,” katanya.

Terkini, francais Ultraman terus berkembang apabila Presiden Tsuburaya Productions Co. Ltd. (TPC) Masayuki Nagatake mengumumkan kerjasama perniagaan dengan seluruh rakan kongsi di Malaysia serta negara di Asia Tenggara.

Dengan pengumuman itu, generasi Ultraman dan raksasa penakluk bumi pasti akan terus berkembang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:40 AM