PELBAGAI siri Ultraman terbaharu akan disiarkan di seluruh dunia. -Foto MAHZIR MAT ISA
PELBAGAI siri Ultraman terbaharu akan disiarkan di seluruh dunia. -Foto MAHZIR MAT ISA
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PRODUKSI dari Jepun, Tsuburaya Production Co Ltd (TPC) yang diisytihar pemilik tunggal harta intelek (IP) Ultraman mengumumkan pengembangan jenama secara global dengan menjalin kerjasama perniagaan di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Presidennya, Masayuki Nagatake berkata, pihaknya gembira apabila Mahkamah Antarabangsa di Amerika Syarikat mengumumkan TPC sebagai pemegang eksklusif siri adiwira itu pada 18 April tahun lalu.

Atas kejayaan itu menurutnya, lebih banyak siri televisyen akan disiarkan dalam tempoh tiga tahun termasuk di negara ini.

“Di Malaysia, siri terbaharu kami iaitu Ultraman dan Ultraman R/B akan disiarkan di sebuah stesen televisyen berbayar pada 30 Ogos ini,” katanya.

Menurut Nagatake, pihaknya turut melancarkan siri baharu, Ultraman Taiga di Jepun bulan lalu yang boleh ditonton di seluruh dunia tahun depan.

“Ultraman Taiga ialah anak kepada pahlawan legenda, Ultraman Taro. Dia akan meneroka alam semesta bersama rakan adiwira, Ultraman Titas dan Ultraman Fuma,” katanya.

Perkembangan itu diteruskan apabila pihaknya melancarkan sebuah siri dalam talian dinamakan Ultra Galaxy Fight yang menampilkan barisan Hero Generasi Baru Ultraman VS League of Darkness.

“Siri ini akan disiarkan di saluran YouTube rasmi TPC bermula 29 September ini. Kami juga mengumumkan penerbitan musim kedua Ultraman yang sedang berlangsung di Netflix.

“Ia sudah disiarkan pada April lalu dan setakat ini menjadi fenomena di seluruh dunia,” katanya pada sidang media pertama Ultraman bersama Presiden TPC di sebuah hotel di Bandar Utama, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Dalam perkembangan sama TPC turut menghasilkan siri mini Ultraman Kaiju yang dinamakan Kaiju Step. Siri animasi itu menyasarkan penonton kanak-kanak dan akan disiarkan di sebuah stesen televisyen pada hujung tahun ini.

“Dalam kerangka yang lebih besar, kami sedang menyiapkan sebuah filem berjudul Shin Ultraman. Filem ini adaptasi kisah asal Utraman yang dihasilkan pada 1966,” katanya.

Beliau berkata, filem itu dijangka ditayangkan pada 2021 dan menggunakan bajet paling besar dalam senarai penghasilan Ultraman Universe.

“Semua perkembangan ini adalah kejayaan terbaharu kami dalam mengembangkan jenama Ultraman. Sebelum ini kami kerugian kira-kira 70 peratus nilai pasaran apabila siri Ultraman dicetak rompak,” katanya.

Menurutnya, atas pemilikan IP itu TPC dapat merencanakan semula pengembangan Ultraman dan kini menjadi hak eksklusif.

“Sebelum ini ramai orang menonton siri Ultraman tetapi tidak tahu pemilik sebenar dan ia menjadi pertikaian hingga setengah abad.

“Syukurlah kami membawa kes ini ke tengah lalu diisytiharkan sebagai pemilik di Amerika Syarikat. Kemenangan ini merangkumi semua watak iaitu Ultraman, raksasa berserta watak lain berkaitan dengan Ultraman Universe,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:00 AM