Alias Abd Rani


SELAMA berpuluh-puluh tahun lalu hingga sekarang, kanak-kanak serta orang dewasa masih gemar menonton Ultraman namun tidak ada sesiapa pun tahu pemilik sebenar siri televisyen terbabit.

Pertikaian demi pertikaian sejak hampir separuh abad hingga ada pihak menuntut rancangan kegemaran kanak-kanak terbabit hak milik mereka.

Lantaran, untuk menjawab segala persoalan ini serta menentukan siapa sebenar pemilik Harta Intelek Tunggal (IP), kes ini kemudian dibawa ke Mahkamah Antarabangsa.

Bertahun-tahun ia mengambil masa, malah pihak terbabit mengemukakan segala bukti, pertikaian menemui noktah apabila Tsuburaya Productions Co. Ltd. (TPC) memenangi kes itu, baru-baru.

Kemenangan itu meliputi semua IP yang merangkumi watak adiwira Ultraman, raksasa dan

watak lain berkaitan dengan Ultraman Universe sekali gus membolehkan TPC memfokuskan kepada pengembangan global utama jenama Ultraman.

Presidennya, Masayuki Nagatake berkata, sebagai langkah permulaan, TPC mengumumkan kerjasama perniagaan bersama seluruh rakan kongsi di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

“TPC memenangi kes tuntutan undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang memantapkan usaha kami selama beberapa dekad untuk menyelesaikan sepenuhnya pertikaian ini dan mengesahkan bahawa kami adalah pemegang hak ekslusif kepada jenama Ultraman.

“Oleh kerana penghakiman di AS sangat dipercayai dan diiktiraf di seluruh dunia, kami berhasrat untuk meneruskan secara aktif dengan pengembangan jenama ini ke luar negara.

“Bagi tempoh tiga tahun akan datang, bermula dengan pengumuman siri terbaru Ultraman, Ultraman R/B, yang akan disiarkan di stesen televisyen berbayar bermula 30 Ogos ini,” katanya pada Sidang Media Pertama Ultraman di Malaysia, di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin dan Pengarah MyIPO, Rashidah Ridha Sheikh Khalid,

Selain itu, katanya, TPC baru-baru ini melancarkan siri baru berjudul ‘Ultraman Taiga’ di Jepun bulan lalu dan boleh ditonton di seluruh dunia tahun depan.

Ultraman Taiga adalah anak kepada pahlawan legenda, Ultraman Taro, dan akan meneroka alam semesta bersama rakan adiwiranya, Ultraman Titas dan Ultraman Fuma.

“Selain itu, TPC turut melancarkan Ultra Galaxy Fight, sebuah siri dalam talian yang menampilkan barisan Hero Generasi Baru Ultraman VS League of Darkness! Ultra Galaxy Fight, akan disiarkan di saluran YouTube rasmi TPC bermula bulan depan.

“Pada masa sekarang, kami menyiarkan ‘Kaiju Step’, sebuah mini siri mengenai Ultraman Kaiju yang muncul sebagai anak kecil dan meneruskan pengembaraan sambil mempelajari perkara baru.

“Kaiju Step bertujuan untuk kanak-kanak prasekolah dan pertama kali disiarkan di rangkaian TV (NHK TV) pada penghujung 2019,” katanya.

Masayuki turut mengumumkan TPC dalam rangka menerbitkan filem ‘Shin Ultraman’ yang diambil dari filem asal Ultraman pada 1996 dan akan ditayangkan pada 2021.

Malah, ia akan menjadi filem terbesar dari kos pembikinan dalam sejarah Ultraman Universe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 9:00 PM
MODEL memakai sut Ultraman. FOTO Mahzir Mat Isa
MODEL memakai sut Ultraman. FOTO Mahzir Mat Isa