ADIWIRA pujaan kanak-kanak Ultraman Zero.
ADIWIRA pujaan kanak-kanak Ultraman Zero.
PENONTON cilik teruja dapat berjabat tangan dengan Ultraman Cosmos.
PENONTON cilik teruja dapat berjabat tangan dengan Ultraman Cosmos.
KERJASAMA Ultraman dalam mengalahkan raksasa dengan pencahayaan yang menarik memukau penonton.
KERJASAMA Ultraman dalam mengalahkan raksasa dengan pencahayaan yang menarik memukau penonton.
KEMUNCULAN belon gergasi di tempat duduk penonton menceriakan suasana.
KEMUNCULAN belon gergasi di tempat duduk penonton menceriakan suasana.
Oleh Suliati Asri


Pertempuran penuh aksi antara Ultraman Zero dan Ginga menentang dua Kaiju terkenal iaitu Alien Baltan dan Ultraman Belial sememangnya cukup mengujakan.

Kesukaran karakter adiwira dipaparkan dalam menentang dua Kaiju itu yang mempunyai kuasa luar biasa bagaikan turut dirasai penonton.

Namun, dengan kuasa dimiliki adiwira hebat itu dan penyatuan lapan generasi adiwira iaitu Ultraman, Ultra Seven, Ultraman Taro, Ultraman Tiga, Ultraman Cosmos, Ultraman Mebius, Ultraman Zero dan Ultraman Ginga akhirnya berjaya memusnahkan Kaiju yang sering membuat kacau di bumi.

Aksi adiwira terbabit mendapat tepukan gemuruh penonton termasuk kalangan wakil media yang dijemput khas sempena persembahan secara langsung Ultraman Live in Genting 2015, baru-baru ini.

Mula ditayangkan di kaca televisyen Jepun sejak 1966, siri berkenaan nyata masih diminati bukan saja kanak-kanak, tetapi juga semua generasi yang membesar mengikuti aksi adiwira terbabit.

Jika selama ini anda hanya dapat melihat aksi bertenaga Ultraman menentang Kaiju menerusi televisyen, kini anda berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung karakter adiwira yang sedang berlangsung di Genting International Showroom.

Persembahan secara langsung terbesar di luar Jepun itu nyata memberikan pengalaman menyeronokkan, keterujaan dan semangat wira dengan menampilkan lapan generasi Ultraman.

Walaupun tempoh persembahan selama sejam, ia bagaikan tidak dirasai dek keterujaan penonton dan pembabitan mereka dalam beberapa permainan disediakan.

Kemunculan raksasa dan Ultraman di tempat duduk penonton mungkin sedikit menakutkan buat si kecil, tetapi menyeronokkan bagi mereka yang berjiwa kental. Ia juga adalah peluang keemasan buat pengunjung untuk mendekati adiwira hebat itu, sekali gus merakamkan gambar dengan lebih dekat.

Pengarah OUP, Alvin Lee berkata, persembahan itu menjanjikan pengalaman menarik kepada mereka yang mengikuti siri popular berkenaan sejak ia diperkenalkan lebih empat dekad lalu.

Menurutnya, kemunculan Ultraman di Malaysia sekali gus memperkenalkan wira Jepun itu kepada generasi hari ini menerusi jalan cerita baru yang bersesuaian untuk hiburan seisi keluarga.

“Persembahan ini adalah kali pertama. Diharapkan dengan sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan pelancong asing, persembahan secara langsung ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Selain aksi bersahaja Ultraman melawan Kaiju, banyak elemen menarik yang dimasukkan dalam persembahan ini dan kemuncaknya adalah gimik berteknologi tinggi serta aksi adegan mendebarkan dan bertenaga yang menjanjikan penonton pelbagai kejutan termasuk pembabitan penonton dalam menjayakan persembahan,” katanya yang juga peminat wira Jepun itu.

Penonton yang juga peminat tegar adiwira Ultraman, Mohd Remy Rizal Romli, 36, berkata pertunjukan itu sememangnya cukup menghiburkan.

Remy yang datang dari Sungai Petani, Kedah bersama keluarga berkata, dia sudah membeli tiket sejak tahun lalu iaitu sewaktu sesi promosi di Pavilion Kuala Lumpur.

“Sebagai peminat tegar adiwira Ultraman ini, persembahannya memang cukup menghiburkan dan mengujakan. Ia bagaikan satu pertempuran sebenar yang cukup menyeronokkan,” katanya.

Masih berlangsung sehingga 29 Mac ini, selain dapat menyaksikan persembahan hebat adiwira Ultraman yang cukup digemari, semua pemegang tiket akan menerima potongan harga eksklusif 30 peratus untuk barangan edisi terhad Ultraman dan diskaun 20 peratus makan malam di Resort Seafood, Hou Mei Resort Hotel dan Coffee Terrace.

Justeru, jangan lepaskan peluang untuk bertemu wira kegemaran anda di atas pentas secara langsung. Pertunjukan setiap hari di Genting International Showroom ini diadakan dua kali sehari iaitu pada jam 4 petang dan 8 malam.

Tiket boleh didapati dengan harga RM88 (VIP), RM68 (PS1) dan RM48 (PS2). Untuk maklumat lanjut kunjungi laman web www.rwgenting.com atau hubungi 03-3718 1118.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:29 AM