Ramlah Zainal


Meminati siri Ultraman sejak kecil, pelakon, Tomoya Warabino, 36, tidak pernah menyangka akhirnya dia dapat melakonkan watak superhero popular dari Jepun itu.

Pelakon kelahiran Miyazaki, Jepun itu berkata, dia berasal dari kampung yang terpencil dan tiada kemudahan televisyen ketika itu.

"Bila dapat peluang menonton siri Ultraman yang menyelamatkan dunia, watak hero itu memberi impak besar pada zaman kanak-kanak saya.

"Saya tak terfikir pun untuk melakonkan watak Ultraman kerana bila tonton filem itu, saya fikir mahu menjadi orang yang melindungi orang lain.

"Namun, berpuluh tahun kemudian, saya pula ditawarkan watak Ultraman Blazar yang boleh melindungi dunia," katanya ketika ditemui di majlis sidang media Ultraman The Hero Premiere 2024 yang berlangsung di Orange Concourse, Sunway Pyramid, Subang Jaya, baru-baru ini.

Mengulas wataknya, kata Warabino, dia ditawarkan watak Ultraman Blazar yang juga filem kesepuluh lakonannya melalui pengarah filem itu sendiri.

MASKOT Ultraman ketika sidang media Ultraman The Hero Premiere 2024 di pusat membeli belah Sunway Pyramid.
MASKOT Ultraman ketika sidang media Ultraman The Hero Premiere 2024 di pusat membeli belah Sunway Pyramid.

"Pengarah filem itu sendiri yang menawarkan watak itu pada saya. Pada mulanya, pengarah itu tidak beritahu watak ditawarkan dan dia hanya beri 'scene' (babak) untuk saya lakonkan. Saya juga hanya bersandarkan pengalaman berlakon dan akhirnya ditawarkan watak itu.

"Watak Gento Hiruma juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki dalam Ultraman Blazar dan ia tidak jauh beza dengan kehidupan realiti saya.

"Justeru, saya memang tepat untuk melakonkan watak itu dan mudah untuk mendapat kepercayaan orang ramai," katanya.

Dari segi cabaran pula, kata Warabino, dia melakonkan watak kapten dan ketua dalam pasukan.

"Sebagai ketua, saya juga tidak mahu anggota pasukan mati dalam pertempuran.

"Selain perlu melindungi keselamatan semua anggota dalam pasukan, pada masa sama, saya kena dengar arahan daripada pihak atasan,"katanya.

Sementara itu, ditanya kerjasama dengan produksi Malaysia untuk filem superhero atau adiwira pula, Warabino berkata, dia sedia untuk mempertimbangkannya.

"Sebenarnya, saya berasa teruja untuk berkunjung ke Malaysia kerana ramai peminat yang bertanya di Instagram bila saya mahu datang ke negara ini?

Kemunculan pertama pelakon di Malaysia sempena tayangan perdana filem Ultraman Blazer the Movie: Tokyo Kaiju Showdown
Kemunculan pertama pelakon di Malaysia sempena tayangan perdana filem Ultraman Blazer the Movie: Tokyo Kaiju Showdown

"Saya sangat gembira dengan sambutan hangat dari peminat di Malaysia.

"Kediaman saya di Jepun, cuaca panasnya sama seperti di Malaysia dan saya berasa seperti berada di rumah sendiri. Kalau saya mahu pindah satu hari nanti, saya mahu datang ke negara ini," katanya yang turut mencuba menu tempatan iaitu laksa sepanjang tiga hari di negara ini.

Beralih perancangan masa depan pula, kata Warabino, dia menanti watak yang lebih mencabar selepas 20 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

"Saya pernah melakonkan pelbagai watak termasuk hero, anggota polis dan pelajar. Saya kini melakonkan watak Ultraman Blazar dan mahu mencuba watak hero lain pula pada masa depan,"katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dan pameran menarik berlangsung selama 11 hari bermula 13 Jun hingga 23 Jun ini.

Acara anjuran Tsuburaya Productions Co Ltd dan One Universal Productions Sdn Bhd itu juga menandakan kemunculan pertama wira terbaharu dalam alam Ultraman, Ulttraman Arc di Malaysia.

Satu lagi tarikan utama ialah tayangan perdana filem Ultraman Blazer the Movie: Tokyo Kaiju Showdown di TGV Cinemas mulai 20 Jun dan banyak lagi aktiviti menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:17 AM