Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Gelagat seorang lelaki yang mengenakan kostum karakter adiwira 'Ultraman' ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Pakar KPJ di Bandar Perda, di sini menarik perhatian ramai hingga ada yang mendekatinya untuk bergambar.

Mohamad Syukur Mohd Patthi, 27, bertindak sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan orang awam termasuk petugas barisan hadapan yang bekerja untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera sekali gus bebas Covid-19.

Katanya, dia yang mendapat panggilan temujanji vaksin pada saat akhir, mengambil keputusan untuk berbuat demikian (memakai kostum) dengan mendapat kebenaran pihak PPV tempatnya disuntik terlebih dahulu.

"Kostum ini sudah dua tahun tidak dipakai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MOHAMAD Syukur memakai kostum Ultraman Ultraseven menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Bandar Perda. FOTO Danial Saad
MOHAMAD Syukur memakai kostum Ultraman Ultraseven menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Bandar Perda. FOTO Danial Saad

"Saya dulu membuat pekerjaan sampingan dengan memakai kostum untuk sambutan hari lahir dan program-program lain namun disebabkan PKP, majlis sosial tidak dibenarkan maka kostum ini hanya disimpan sahaja.," katanya.

Jelasnya, pada mulanya dia tahu agak sukar memakai kostum untuk mendapatkan suntikan vaksin tetapi mahu melakukannya demi menggembirakan orang ramai khususnya petugas barisan hadapan.

"Lagipun saya mendapat kebenaran pihak PPV ini dan syukur semua proses bagi suntikan pertama vaksin berjalan dengan" katanya.

Mohamad Syukur yang dahulu bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi sebelum diberhentikan kerja pernah mencuri tumpuan apabila dia bersama rakan-rakannya dikenali 'Geng Superhero Penang' menjual air jagung di tepi-tepi jalan di sekitar Kepala Batas, Seberang Jaya dan Bukit Mertajam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:43 AM