Redzuan Muharam


SHAH ALAM: Bekas pensyarah dan arkitek, Prof Madya (B) A R Noorhashimah Mohamed Noordin pernah diuji dengan kehilangan anak sulung dan ketiganya yang masing-masing meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan.

Tidak terhenti di situ, Noorhashimah sekali lagi diduga dengan penyakit barah usus yang disahkan berada di tahap empat pada awal tahun ini.

Namun, wanita berusia 58 tahun itu akur dengan ketentuan dan terus positif dalam menjalani kehidupan walaupun dihimpit perasaan bimbang untuk menjalani rawatan radioterapi tidak lama lagi.

Bercerita lanjut, Noorhashimah berkata, anak sulungnya meninggal dunia ketika berusia 26 hari kerana tidak dapat diselamatkan ketika pembedahan manakala yang ketiga disebabkan jangkitan kuman selepas 46 hari dilahirkan .

“Berat rasanya menerima pemergian mereka, namun saya reda dengan ketentuan itu kerana memikirkan tanggungjawab terhadap tiga anak lain terutama Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 16, (anak keempat) yang menghidap autisme dan juga pelukis autistik.

NOORHASHIMAH dibantu Wan Jamila dalam menghasilkan skulptur  mengikut kreativitinya.
NOORHASHIMAH dibantu Wan Jamila dalam menghasilkan skulptur mengikut kreativitinya.

“Suami dan anak banyak memberi kekuatan untuk saya mengharungi dugaan itu, tetapi belum sempat menarik nafas lega, saya diuji dengan penyakit barah usus pada 2016 hingga terpaksa menjalani dua pembedahan besar.

“Masalah kesihatan itu menyebabkan hasrat saya membimbing Wan Jamila dalam pelajaran selepas bersara tidak kesampaian,” katanya di rumahnya di Seksyen 7 di sini.

Noorhashimah berkata, beliau mengambil masa lapan bulan untuk kembali stabil dan cuba melupakan penyakit yang ada dengan melakukan aktiviti di rumah bersama keluarga.

“Penyakit berkenaan menuntut saya menjalani kemoterapi dan rawatan itu serba sedikit menjadikan emosi saya tidak stabil seperti cepat marah serta mudah sedih.

“Satu hari, timbul idea untuk menghasilkan skulptur dan saya tidak berseorangan kerana dibantu Wan Jamila yang mewarna mengikut kreativitinya.

“Aktiviti itu menyeronokkan dan seolah-olah satu terapi hingga saya terlupa dengan penyakit yang dihidapi,” katanya.

NOORHASHIMAH  tekun melihat anaknya, Wan Jamila  menyiapkan lukisan di kediaman mereka di Seksyen 7, Shah Alam.
NOORHASHIMAH tekun melihat anaknya, Wan Jamila menyiapkan lukisan di kediaman mereka di Seksyen 7, Shah Alam.

Menurut Noorhashimah, beliau kini enggan memikirkan perkara yang negatif sebaliknya mahu menjalani kehidupan dengan tenang di sisi keluarga tercinta.

“Sebut saja mengenai barah, pasti timbul rasa takut dan itu perkara biasa dalam kalangan masyarakat kita termasuk saya satu ketika dulu.

“Namun, saya anggap diri saya terpilih kerana diuji dengan penyakit itu dan menganggapnya sebagai cabaran serta peringatan untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah.

“Selain mengikut nasihat doktor, kekuatan dalaman saya juga penting bagi melawan penyakit berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:45 AM