SITI Zubaidah dan Rohani mencium Mohd Firdaus. FOTO NSTP
SITI Zubaidah dan Rohani mencium Mohd Firdaus. FOTO NSTP
Redzuan Muharam


DEMI menjaga abang kandung yang menghidap barah otak dan tibi, Siti Zubaidah Che Saad, 22, sanggup mengorbankan masa depannya apabila tidak menyambung pengajian ke menara gading selepas tamat persekolahan.

Kini, sudah menjadi rutin harian Siti Zubaidah menguruskan abangnya, Mohd Firdaus, 33, meskipun sudah bergelar isteri sejak berumahtangga pada Mac tahun lalu.

Menurut Siti Zubaidah, selain meringankan beban ibu, Rohani Ahmad, 57, apa yang dilakukannya salah satu cara untuk berbakti kepada ahli keluarga yang sentiasa menjadi keutamaannya.

“Abang menderita akibat penyakit berkenaan sejak 15 tahun lalu dan sudah menjalani empat pembedahan bagi membuang ketumbuhan yakni di bahagian kepala dan hidung sepanjang tempoh berkenaan.

“Menurut doktor, tiada apa lagi boleh dilakukan memandangkan penyakit abang sudah berada di tahap empat tetapi saya dan ibu akan terus berikhtiar selagi terdaya bagi membolehkannya merasai nikmat hidup seperti orang lain, walaupun dia kini hanya dapat bergerak dengan bantuan kerusi roda.

“Cuma, ibu tidak begitu sihat sejak mengalami penyakit jantung jadi saya yang perlu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan abang termasuk memberinya ubat, membantu menukar lampin pakai buang dan menghantarnya ke hospital dengan berulang alik dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur bagi menjalani pemeriksaan bulanan,” katanya.

SITI Zubaidah menjaga Mohd Firdaus yang menghidap tibi dan barah otak tahap empat sejak 15 tahun lalu. FOTO NSTP
SITI Zubaidah menjaga Mohd Firdaus yang menghidap tibi dan barah otak tahap empat sejak 15 tahun lalu. FOTO NSTP

Siti Zubaidah berkata demikian ketika ditemui Harian Metro di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana suaminya, Imtiaz Ikrimal Rosslee, 27, memahami keadaan sebenar dan tidak pernah menghalangnya untuk membantu Mohd Firdaus.

Anak bongsu daripada lima beradik itu juga tidak menyesal dengan jalan hidup dipilih sebaliknya puas kerana dapat membantu darah daging sendiri.

“Sebelum berkahwin lagi, saya sudah menjelaskan keadaan abang kepada suami dan Alhamdulillah, dia faham serta tidak pernah mempersoalkannya sehingga ke hari ini.

“Lagipun, apa yang saya lakukan untuk abang kandung sendiri, bukan orang lain jadi tiada sebab untuk suami menghalang saya berbuat demikian.

“Sekarang, abang diuji dan siapa tahu, saya pula menerima nasib sama nanti jadi selagi termampu, saya akan terus menjaganya ,” katanya.

Meskipun diuji dengan penyakit berkenaan, Siti Zubaidah kagum dengan semangat abangnya yang tidak pernah mengalah jauh sekali menyalahkan takdir.

“Selain mengalami perubahan pada bentuk muka, abang kini tidak dapat melihat dan mengalami masalah pendengaran sejak penyakitnya bertambah serius.

“Detik paling menakutkan adalah apabila abang tidak sedarkan diri secara tiba-tiba pada Jun lalu, namun mahu atau tidak, kami perlu bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan.

“Setakat ini, ramai membantu dan saya berterima kasih kepada platform crowdfunding (pendanaam awam) iaitu Kitafund yang menyediakan saluran untuk orang ramai menghulurkan sumbangan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, beliau sedih tetapi reda dengan apa yang berlaku walaupun kehidupannya banyak berubah sejak disahkan menghidap barah dan tibi.

“Saya bersekolah sehingga tingkatan tiga saja sebelum berhenti kerana mahu bekerja untuk meringankan beban keluarga pada waktu itu.

“Mulanya, saya bekerja sebagai penjaga kawasan parkir sebelum mencari rezeki di restoran makanan segera. Ikut hati mahu terus bekerja, namun apakan daya, kesihatan tidak mengizinkan,” katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:04 PM