FEDILIA sudah sembuh sepenuh daripada barah tonsil.
FEDILIA sudah sembuh sepenuh daripada barah tonsil.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"KEPERITAN kesan rawatan radioterapi lebih berganda berbanding kesakitan barah tonsil yang saya tanggung sebelum menjalani pembedahan.

"Ia menyebabkan saya mulanya enggan menghabiskan 37 sesi rawatan ini kerana tidak sanggup merasai kesannya setiap kali selepas rawatan," luah Fedilia Abdul Majid, 65.

Fedilia dari Klang, Selangor adalah bekas pesakit barah tonsil tahap tiga yang menjalani pembedahan pada April 2011.

Radioterapi ialah penggunaan kuasa sinaran yang lebih tinggi untuk membunuh sel kanser yang ditujukan ke bahagian badan tertentu.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, sepanjang 37 hari menjalani rawatan radioterapi, ia menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan.

PEMBEDAHAN bermula di bahagian mulut.
PEMBEDAHAN bermula di bahagian mulut.

"Saya pernah menangis meraung menahan kesakitan dan tekanan kesan rawatan ini selepas pulang dari hospital.

"Namun, saya bertuah kerana suami, Raja Azman Raja Hasbullah, yang berusia 69 tahun dan anak sangat memahami.

"Mereka sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya bersabar hingga bersetuju menghabiskan 37 sesi rawatan radioterapi," katanya.

Menurutnya, kesan lain rawatan itu ialah muntah dan demam. Bahagian leher, dada, belakang badan dan muka pula menjadi kemerahan serta kehitaman.

"Kulit badan juga menjadi lebih sensitif seperti tidak boleh terkena pancuran air hujan. Jika mandi, saya gunakan curahan air secara perlahan.

"Saya tidak boleh mengelap badan dengan cara biasa sebaliknya tepukan lembut pada kulit menggunakan tuala," katanya.

Berkongsi sejarah penyakitnya itu, Fedilia berkata, sebelum didiagnosis menghidap barah tonsil, dia kerap mengalami sakit tekak yang teruk termasuk rasa pedih dan perit.

"Saya menanggung kesakitan ini selama setahun dan tidak boleh makan setiap kali penyakit ini menyerang.

KESAN pembedahan pada leher.
KESAN pembedahan pada leher.

"Ketika itu, saya menyangkakan ia hanyalah sakit tekak biasa dan mengambil ubat yang dibeli di farmasi bagi meredakan kesakitan," katanya.

Menurutnya, akibat kesakitan, dia menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta dan pada peringkat awal, dia dikesan menghidap masalah tonsil.

"Pembedahan membuang tonsil ini juga membuka 'rahsia' kesakitan (sakit tekak) yang saya tanggung selama setahun apabila disahkan menghidap barah tonsil.

"Saya kemudian dirujuk ke Hospital Tunku Canselor Mukriz (HCTM) sebelum disahkan menghidap barah tonsil tahap tiga," kataya.

Fedilia berkata, dia menjalani pembedahan bagi membuang barah tonsil pada April 2011 daripada bahagian mulut hingga ke bawah telinga.

"Pembedahan ini berlangsung selama 11 jam dan saya tidak sedar selama empat hari selepas menjalani prosedur berkenaan.

"Ketika pembedahan, pasukan pakar itu mengambil tisu di tangan kiri dan saraf tunjang untuk menampal bahagian tekak yang melalui proses pembuangan tonsil.

"Kulit paha kiri pula diambil bagi menampal tangan kiri yang terjejas kerana pengambilan tisu berkenaan.

"Kesan daripada pembedahan ini menyebabkan saya tiada air liur, tidak boleh makan makanan pepejal dan hanya bergantung dengan pengambilan susu khas sebagai pengganti makanan, ia diambil enam kali sehari," katanya.

Katanya, suaranya juga berubah selain percakapannya menjadi kurang jelas.

TISU tangan kiri diambil untuk ditampal pada tekak.
TISU tangan kiri diambil untuk ditampal pada tekak.

Menurutnya, walaupun pernah meratapi kesedihan, dia tetap bersyukur menjadi insan terpilih yang diuji dengan penyakit berkenaan walaupun cabarannya sangat pedih.

"Saya menasihati mereka yang sering mengalami sakit tekak supaya segera berjumpa pakar sebagai langkah pencegahan awal sebelum barah menjadi lebih teruk.

"Lima tahun lalu, saya disahkan bebas daripada sel barah dan berdoa supaya terus sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:48 AM