Saidatul Hafizah cekal menjalani rawatan sendiri tanpa ditemani suami dan anak-anak. FOTO Ihsan Saidatul Hafizah Jamahari
Saidatul Hafizah cekal menjalani rawatan sendiri tanpa ditemani suami dan anak-anak. FOTO Ihsan Saidatul Hafizah Jamahari
Redzuan Muharam


BERULANG alik dari Slim River, Perak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap tiga minggu sekali sudah menjadi rutin ibu tiga anak, Saidatul Hafizah Jamahari sejak disahkan menghidap barah payudara April tahun lalu.

Namun Saidatul Hafizah, 38, sudah lali dan cekal menjalani rawatan sendiri tanpa ditemani suami, Mohd Fauzi Mat Saad, 39, dan anak tercinta iaitu Muhammad Ashraf, 10, Muhammad Irfan Naufal, 8, dan Rizqi Yusoff, 3.

Menurutnya, bukan enggan mengajak suami bersama tetapi enggan anaknya ponteng sekolah hanya kerana mahu menemaninya menjalani rawatan di hospital.

Berkongsi pengalamannya, wanita tabah itu berkata, doktor mengesahkannya menghidap barah payudara ketika penyakit berkenaan berada pada tahap tiga.

Katanya, kini penyakitnya sudah berada pada tahap empat dan sel barah itu juga sudah merebak ke hati.

“Mulanya, saya tak sedar adanya tanda penyakit itu kerana menyangka perubahan pada payudara adalah disebabkan bengkak susu kerana sedang menyusukan anak bongsu ketika itu.

“Berbulan juga masa diambil untuk mengenalpasti penyakit berkenaan sehingga saya menjalani biopsi dan menghantar sampel ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Selepas disahkan menghidap penyakit itu, saya dinasihatkan menjalani kemoterapi enam kali sebelum membuang kedua-dua payudara menerusi pembedahan pada 25 Oktober lalu.

“Saya sangka kanser ini pulih selepas menjalani kemoterapi tetapi sel itu kembali aktif sebulan selepas menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui di HKL baru-baru ini.

Saidatul Hafizah bersama suami dan anak-anak yang menjadi sumber kekuatannya. FOTO Ihsan Saidatul Hafizah Jamahari
Saidatul Hafizah bersama suami dan anak-anak yang menjadi sumber kekuatannya. FOTO Ihsan Saidatul Hafizah Jamahari

Menurut Saidatul Hafizah, sebagai wanita, dia tidak dapat lari daripada perasaan sedih apabila diuji dengan penyakit itu

lebih-lebih lagi apabila memikirkan usia tiga anaknya yang masih kecil.

Namun, dia perlahan-lahan bangkit mengumpul kekuatan untuk kekal positif sekalipun tidak tahu sampai bila boleh bertahan melawan penyakit berkenaan.

“Doktor tidak memberi jangkaan sampai bila saya dapat hidup tetapi saya yakin boleh pulih dengan izin Allah SWT.

“Rakan terdekat juga memberi semangat dan meyakinkan saya untuk tidak berputus asa kerana bagi mereka, tidak semestinya mereka yang menghidap barah meninggal dunia.

“Begitu juga dengan suami yang sentiasa berada di sisi dan mengingatkan saya untuk sentiasa positif serta yakin dengan Allah SWT,” katanya yang bertugas sebagai penolong akauntan di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak.

Menceritakan cabaran dilaluinya sejak menghidap barah payudara, menurutnya, walaupun mempunyai pendapatan bulanan, agak sukar untuknya mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan rawatannya yang menelan belanja RM3,000 bagi setiap sesi rawatan.

Namun dia bersyukur kerana tidak berseorangan sebaliknya dibantu keluarga dan rakan sepejabat yang sanggup mengumpul derma untuk meringankan bebannya.

“Tak dinafikan, segelintir wanita pasti takut seandainya suami mereka beralih arah jika mereka menghidap barah payudara tetapi saya percaya, jodoh serta ajal maut Tuhan menentukan.

“Kalau boleh, saya hanya mahu positif dan enggan pandang ke belakang kerana yakin ada hikmah tersirat di sebalik apa yang berlaku.

“Jika tidak diuji dengan penyakit ini, belum tentu saya kuat dan mempunyai ramai kenalan seperti sekarang,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada Saidatul boleh berbuat demikian menerusi bit.ly/sumbangansaidatul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 10:38 PM