JASAD bayi lelaki yang dibalut tuala putih ditemu di ruang solat wanita di Masjid As Syakirin, Pasir Puteh, Bachang di Melaka. FOTO Ihsan Polis
JASAD bayi lelaki yang dibalut tuala putih ditemu di ruang solat wanita di Masjid As Syakirin, Pasir Puteh, Bachang di Melaka. FOTO Ihsan Polis
Nur Saliawati Salberi


JEMAAH Masjid As Syakirin, Pasir Puteh, Bachang di Melaka, dikejutkan dengan penemuan mayat bayi lelaki yang dibalut tuala putih di ruang solat wanita di rumah ibadat itu, pagi hari ini.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Zainon, 50, berkata, jemaah masjid yang selesai menunaikan solat Subuh menemui jasad bayi itu kira-kira 6 pagi.

Katanya, pada mulanya jemaah masjid itu rata-ratanya menyangka bungkusan kain putih itu adalah telekung, namun selepas mendekatinya, mereka terkejut mendapati mayat bayi lelaki ditinggalkan di situ.

“Saya tiba di masjid kira-kira jam 5.40 pagi, terlihat bungkusan kain batik dan di luarnya dibungkus dengan tuala berwarna putih tetapi tidak mengendahkannya kerana menyangka ia adalah telekung.

“Selesai solat, seorang daripada jemaah wanita yang mahu berkemas terpegang bungkusan itu dan ketika dia mengangkatnya terdapat kesan darah sebelum memaklumkan kepada jemaah lelaki,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zainon berkata, sebaik bungkusan dibuka, jemaah lain terkejut apabila mendapati sekujur tubuh bayi yang sudah kebiruan, selain ada sekeping nota didalamnya.

“Ini kejadian pertama berlaku, namun dengan adanya kamera litar tertutup (CCTV) ia dapat membantu mengesan individu bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek wanita dipercayai ibu mayat bayi lelaki itu ditahan di rumahnya di Lorong Haji Nyonya, Kampung Pasir Puteh, Bachang, kira-kira 2 petang hari ini.

Menurutnya, bayi itu dipercayai baru berusia tiga hari yang dilahirkan pada 13 April lalu dan suspek meminta untuk disempurnakan jenazah, berdasarkan sekeping nota yang ditemui pada jasad bayi berkenaan.

“Bayi itu dipercayai meninggal dunia ketika dilahirkan. Difahamkan mayat bayi berkenaan disimpan suspek sebelum dia bertindak meletakkannya di masjid kira-kira 12.15 tengah malam tadi.

“Pemeriksaan pada tubuh bayi itu mendapati ia masih bertali pusat, terdapat kesan darah pada hidung, lebam kehitaman pada muka dan bahagian badan,” katanya ketika dihubungi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:11 PM