LAPORAN portal Harian Metro mengenai penemuan mayat bayi lelaki yang dibalut tuala putih di ruang solat wanita di sebuah masjid di Melaka.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai penemuan mayat bayi lelaki yang dibalut tuala putih di ruang solat wanita di sebuah masjid di Melaka.
Nur Saliawati Salberi


WANITA dipercayai ibu kepada mayat bayi lelaki yang ditemui di Masjid As Syakirin, Pasir Puteh di Bachang, Melaka, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis, petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, wanita itu kini di Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan 24 jam untuk diambil keterangan.

“Dia kini ditempatkan di hospital untuk menerima rawatan, selain akan dipanggil semula untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Portal Harian Metro semalam melaporkan, jemaah masjid dikejutkan dengan penemuan mayat bayi lelaki yang dibalut tuala putih di ruang solat wanita, pagi semalam.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Zainon, 50, berkata, jemaah masjid yang selesai menunaikan solat Subuh menemui jasad bayi itu kira-kira 6 pagi.

Katanya, pada mulanya jemaah masjid itu rata-ratanya menyangka bungkusan kain putih itu adalah telekung, namun selepas mendekatinya, mereka terkejut mendapati mayat bayi lelaki ditinggalkan di situ.

Berita berkaitan

Apa dosa bayi ini?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 5:51 PM