MIA tidak ada amaran untuk wanita cuba mengganggu gugat rumah tangganya.  FOTO: Aziah Azmee
MIA tidak ada amaran untuk wanita cuba mengganggu gugat rumah tangganya. FOTO: Aziah Azmee
Norhayati Nordin


TIADA wanita mahu mahligai kasih yang dibina atas dasar cinta musnah begitu saja. Selagi termampu, ia pasti dipertahankan. Begitulah juga dengan ujian yang melanda keharmonian rumah tangga pelakon Mia Ahmad, 31, yang bergolak sekitar hujung tahun lalu.

Mia bertemu jodoh dengan lelaki pilihan yang juga penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan pada 13 Januari 2017. Namun, pada saat gembira menyambut kelahiran zuriat sulungnya, Sayf Issa, pelakon drama Hati Perempuan itu melalui saat getir berhadapan dakwaan suaminya curang.

Seiring masa yang berlalu, ternyata Mia kini semakin berjaya merawat luka di hatinya untuk pulih semula.

Bersua pemilik nama sebenar Samihah Ahmad Baderi ini, kelihatannya dia semakin kuat, tabah, cekal, positif dan tenang.

Tidak mengelak apabila coretan kisah hitam dalam rumah tangganya diselak semula, Mia tenang berkongsi luahan hati.

“Sukar sebenarnya untuk saya membicarakan perkara yang menyedihkan itu semula. Apatah lagi, ia sudah berlalu.

“Namun, diakui saya masih perlukan masa untuk mengubati luka di hati walaupun perhubungan dengan suami semakin baik dan kembali pulih.

Mengulas status hubungan itu, Mia berkata, dia dan suami kini dalam fasa berdamai, semakin mengenali dan gembira selepas melalui saat genting itu.

“Sejujurnya, saya tak mahu ingat lagi apa yang sudah berlaku itu kerana terlalu perit untuk ditelan. Apabila ia ditanyakan semula saya umpama mengimbas kembali dan secara tak langsung membuat perasaan menjadi sebak,” katanya.

Sokongan keluarga dan kehadiran anak diakui menjadi pemangkin semangatnya. Mia tidak mahu menghadapi situasi itu berseorangan kerana bimbang akan menjadi lebih teruk.

“Saya akui sudah pun terlajak perbuatan apabila mendedahkannya di media sosial. Jadi, nak tak nak saya perlu menjelaskan hal sebenar kepada keluarga.

“Bagaimanapun, ujian itu membuatkan saya benar-benar bermuhasabah diri dan balik kepada asas hidup untuk lebih dekat dengan Allah SWT. Hanya Allah saja sentiasa bersama dengan kita, tidak kira dalam apa saja situasi sama ada gembira, bahagia, sedih dan sebagainya.

SOKONGAN keluarga dan kehadiran anak diakui menjadi pemangkin semangatnya.
SOKONGAN keluarga dan kehadiran anak diakui menjadi pemangkin semangatnya.

“Malah, saya juga sedar apa yang dimiliki adalah pinjaman daripada Allah. Ia tidak akan selama kekal bersama kita. Jadi, perlu reda,” katanya.

Ditanya juga apakah dia ada amaran untuk wanita yang cuba mengganggu gugat rumah tangganya semula, Mia berkata tiada amaran.

Siapalah dirinya untuk memberi amaran kepada orang lain kerana memang dia tidak boleh mengawal sikap manusia, masa dan keadaan. Ia hanya di atas izin Allah SWT.

Rindu berlakon

Sejak bergelar ibu pada September 2018, Mia mengakui seluruh masanya memang ditumpukan buat anak tersayang, Sayf Issa yang kini berusia enam bulan.

Walaupun ada tawaran berlakon yang diperoleh, Mia sanggup menolak kerana belum masa untuk dia kembali aktif berlakon seperti dulu.

Ditanya perasaan rindunya pada lakonan, wanita kelahiran Perak ini memberitahu, dia memang rindu untuk bekerja di set penggambaran.

“Cuma, keadaan tidak mengizinkan kerana anak saya masih kecil. Sukar untuk saya berjauhan dan meninggalkan dia terlalu lama di rumah.

“Saya memang rindu berlakon, tapi tak tahulah bila boleh aktif semula. Sekarang, memang bukan masanya kerana fokus utama saya pada anak,” katanya.

Menurut Mia, demi anaknya biarlah dia korbankan karier dahulu kerana itu lebih utama. Katanya, anak adalah rezeki paling bermakna yang perlu dihargai.

Mia yang kembali kurus berkata, tidak mudah untuk dia menurunkan berat badan dan dia sangat menjaga pemakanan ketika berpantang untuk nampak kurus seperti sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 6:00 AM