MIA tak kongkong suami. FOTO: Aziah Azmee
MIA tak kongkong suami. FOTO: Aziah Azmee
Najiy Jefri


BARANGKALI kisah hitam yang melanda rumah tangga pelakon Mia Ahmad dengan penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan akan sentiasa terpahat dalam memori dan menjadi iktibar terbaik buat kedua-duanya.

Siapa sangka, pada saat gembira menyambut kelahiran zuriat sulung, Sayf Issa, tahun lalu, pelakon drama Hati Perempuan itu melalui saat getir berhadapan dakwaan suaminya curang.

Bagaimanapun, rumah tangga yang dibina sejak 13 Januari 2017 itu kembali terjalin utuh dan semakin mewangi dalam meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.

Mia ketika ditemui menepis dakwaan segelintir pihak mengatakan dia sengaja membuka aib suaminya apabila membongkar masalah rumah tangga yang melanda.

Sebaliknya Mia berkata, tidak semua wanita pernah mengalami situasi sepertinya membuatkan ramai tidak faham keputusan yang diambil ketika itu.

“Dalam tempoh ketika saya masih berpantang dan lemah, tiada siapa yang akan faham keadaan ketika itu.

“Walaupun macam-macam orang cakap pasal saya, tapi tak semua orang faham. Cuma suami saja tahu kenapa saya bertindak sedemikian.

“Apapun saya sudah move on dan bahagia melayari alam rumah tangga bersama suami. Saya sudah tidak mahu pandang ke belakang kerana semuanya sudah kembali pulih dan kami seronok membesarkan anak bersama-sama,” katanya.

Menurutnya, ujian yang melanda turut mengingatkan mereka untuk muhasabah diri dan balik kepada asas hidup untuk lebih dekat dengan Allah SWT.

“Saya banyak muhasabah diri dan balik kepada asas hidup untuk lebih dekat dengan Allah SWT.

“Mungkin apa yang berlaku ini kadangkala disebabkan diri kita yang terleka untuk mendekatkan diri dengan-Nya dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap Allah dalam menentukan hala tuju rumah tangga kami,” katanya.

Mia turut menjelaskan sokongan keluarga dan kehadiran anak diakui menjadi pemangkin semangatnya.

“Sudah tentu keluarga terutama kedua-dua ibu bapa saya. Biarpun saya sedar mereka berusia dan tidak adil untuk mengetahui masalah rumah tangga kami pada ketika itu, saya perlu berkongsi dengan mereka untuk tidak berdepan dengan tekanan.

“Alhamdulillah, ibu bapa banyak memberikan nasihat kepada kami untuk mencari jalan penyelesaian selepas melalui segala macam perkara dalam rumah tangga.

“Malah ketika saya memilih untuk hidup bersama, saya nekad untuk tidak membuka cerita yang berlaku. Apabila ada yang bertanya apakah puncanya, saya tidak akan berkongsi kerana percaya ia akan membawa kemudaratan nanti,” katanya.

TIDAK KAWAL SUAMI

Ditanya adakah dia mengawal suaminya selepas insiden buruk yang menimpa rumah tangganya, Mia berkata, dia tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya untuk mengawal pergerakan suaminya itu.

Sebaliknya dia meletakkan kepercayaan dan naluri seorang isteri dalam dirinya.

“Ketika saya memilih nak berkahwin dulu ramai yang memberi nasihat dan memberitahu perangai sebenar pemain bola,” katanya.

Namun katanya, pada saat memilih untuk bersama dengan suami, dia sudah meletakkan kepercayaan kepada pasangannya itu dan tidak mahu fikir apa yang orang perkatakan.

“Bagi saya, lebih baik buat hal sendiri. Lagipun kalau benda buruk nak berlaku depan mata pun boleh buat. Saya tidak mahu menjadi isteri yang mengawal suami.

“Saya lebih percaya Tuhan dan seandainya dia buat perangai, Tuhan pasti memberi petunjuk,” katanya.

MIA tumpu pada anak, Sayf Issa. FOTO: Aziah Azmee
MIA tumpu pada anak, Sayf Issa. FOTO: Aziah Azmee

RINDU BERLAKON

Sejak bergelar ibu pada September 2018, Mia mengakui seluruh masanya memang ditumpukan buat anak tersayang, Sayf Issa yang kini berusia tujuh bulan.

Walaupun ada tawaran berlakon yang diperoleh, Mia sanggup menolaknya kerana belum masa untuk dia kembali aktif berlakon seperti dulu.

“Memang rindu nak kembali berlakon tapi keadaan tidak mengizinkan kerana anak masih kecil. Sukar untuk saya berjauhan dan meninggalkan dia terlalu lama di rumah.

“Saya memang nak kembali ke set penggambaran, tapi tak tahulah bila boleh aktif semula. Sekarang, memang bukan masanya kerana fokus utama saya pada anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 6:30 AM