Pelakon Mia Ahmad bersama suami, Izham Tarmizi dan anak sulung mereka Sayf Issa.
Pelakon Mia Ahmad bersama suami, Izham Tarmizi dan anak sulung mereka Sayf Issa.
Najiy Jefri


"KALI ini saya lebih 'cool' dan tidak lagi kelam-kabut seperti proses kelahiran anak sulung, Sayf Issa," kata pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) Mohd Izham Tarmizi yang berkongsi pengalaman sewaktu menemani isteri yang juga pelakon Mia Ahmad di wad bersalin, semalam.

Izham ketika dihubungi berkata, dia bersyukur apabila proses kelahiran anak kedua berjalan dengan lancar dan dipermudahkan urusan.

"Kami masuk bilik bersalin sekitar jam 4 petang dan Alhamdulillah pada jam 5.20 petang Mia selamat melahirkan anak perempuan seberat 3.22 kilogram secara normal.

"Pengalaman kali kedua berada di sisi isteri ketika bersalin tidak seperti waktu kali pertama. Saya kurang rasa gementar tapi dalam waktu sama saya banyakkan berdoa supaya proses bersalin berjalan dengan mudah. Ketika kali pertama dulu saya agak kelam-kabut sebab tak pernah rasai dan berdepan situasi ini. Tambahan pula saya terlalu teruja untuk menantikan kelahiran anak pertama," katanya.

Menurut Izham, Mia kini berada dalam keadaan baik dan sudah dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

"Mia bakal menjalani tempoh pantang di Johor. Akan ada penjaga khusus yang menjaga selain ditemani ibunya dan ahli keluarga lain," katanya.

Terdahulu, Izham berkongsi khabar gembira di Instagram mengenai kelahiran anak keduanya semalam.

Mia mendirikan rumah tangga dengan Izham pada 13 Januari 2017. Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Sayf Issa pada 28 September 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 6:22 PM