Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“ANGAH nak bawa ma (mama) pergi (mengerjakan) umrah,” itu ayat pertama diluahkan atlet angkat berat Muhamad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad sejurus memenangi pingat emas pertama negara dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, hari ini.

Muhamad Azroy yang disapa dengan panggilan Angah membuat penggilan video kepada keluarganya bagi memaklumkan kemenangannya itu.

Ibunya Rohana Ahmad, 45, berkata anak kedua daripada lapan beradik itu berpesan supaya menonton aksinya menerusi siaran langsung di televisyen pada 6.30 pagi.

“Saya bangun pada 4 pagi dan memasak sebelum ke rumah kakak di Kampung Sungai Puteri untuk menonton acara yang disertai Angah bersama ahli keluarga yang lain.

“Ketika Angah diumumkan sebagai pemenang, saya seakan mahu pitam dan tidak percaya kerana anak saya berjaya menyumbang pingat emas untuk negara, perasaan terharu dan bangga semuanya bercampur baur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sepakat, Rompin, hari ini.

Muhamad Azroy mengungguli kategori 56 kilogram (kg), sekali gus memecahkan dua rekod Sukan Komanwel, kedua-duanya milik Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara snatch dan keseluruhan.

Azroy melakukan angkatan 117 kg dalam acara snatch mengatasi rekod 116 kg Amirul pada Sukan Komanwel New Delhi 2010, 144 kg dalam ‘clean and jerk’ dan 261 kg dalam acara keseluruhan yang memecahkan rekod Amirul di Manchester 2002.

Rohana yang juga ibu tunggal yakin dengan kemampuan anaknya untuk mencatat kejayaan dalam sukan berkenaan walaupun Azroy agak ragu-ragu akan kemampuannya.

“Hampir setiap hari saya akan menghantar mesej kata-kata semangat menerusi aplikasi WhatsApp kepada Angah bagi menaikkan moralnya.

“Kadang kala perasaan saya juga kuat mengatakan yang dia mampu untuk meraih kemenangan tetapi tidak sangka membawa pulang pingat emas untuk saya dan adik-adiknya.

“Angah seorang yang sangat komited dengan apa yang dilakukannya dan bersungguh-sungguh setiap kali menjalani latihan. Saya lihat bagaimana pengorbanannya sejak menceburkan diri dalam sukan berkenaan ketikaa berusia 14 tahun,” katanya.

Menurutnya, perjalanan karier Angah tidak mudah kerana pada awal pembabitan dia terpaksa menghantar anaknya untuk menjalani latihan di Pusat Angkat Berat Rompin dengan hanya menaiki basikal.

Katanya, adakalanya dia terpaksa berjalan kaki demi memastikan Angah tidak terlepas sesi latihannya dan nyata pengorbanan itu berbaloi apabila melihat anak kesayangannya dikalungkan pingat emas.

Mengulas pembabitan Angah dalam sukan angkat berat, Rohana berkata, ia banyak dipengaruhi oleh bapanya, Izhar Ahmad Ramli, 46, yang juga atlet angkat berat Pahang.

Katanya, seawal usia empat tahun Angah sudah menunjukkan minat dalam sukan berkenaan sebelum menjalani latihan serius sejak berusia 14 tahun.

“Sejak itu, dia tidak pernah menoleh ke belakang dan menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh, tidak pernah putus asa malah menunjukkan semangat juang yang tinggi.

“Saya berbangga dengannya, segala kepayahan dan pengorbanannya selama ini terbalas dengan kejayaan yang diperolehnya ini," katanya.

Azroy sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang 2012 dan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Berita berkaitan

Tahniah Azroy... Emas pertama kita [METROTV]

RM10,000 tunggu Azroy

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 5:29 PM
ROHANA (kiri) menyaksikan aksi ulangan Azroy pada acara angkat berat yang memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel 2018 menerusi telefon pintar di Kampung Sepakat, Rompin, hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
ROHANA (kiri) menyaksikan aksi ulangan Azroy pada acara angkat berat yang memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel 2018 menerusi telefon pintar di Kampung Sepakat, Rompin, hari ini. FOTO Muhd Asyraf Sawal.