ROHANA bersama ahli keluarga melihat rakaman saat-saat kemenangan anaknya. -Foto BERNAMA
ROHANA bersama ahli keluarga melihat rakaman saat-saat kemenangan anaknya. -Foto BERNAMA
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“ANGAH nak bawa ma (mama) pergi (mengerjakan) umrah,” itu ayat pertama yang terpacul daripada mulut Muhamad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad ketika membuat panggilan video kepada keluarganya sejurus memenangi pingat emas di Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.

Ibunya, Rohana Ahmad, 45, jelas sebak dan bersyukur sebaik mendengar hajat yang disampaikan anak kedua daripada lapan beradik itu.

Malah, ibu tunggal itu mengakui beliau sempat menonton aksi anaknya itu yang lebih mesra dipanggil Angah itu menerusi siaran langsung di televisyen kira-kira jam 6.30 pagi.

“Angah berpesan supaya melihat dia beraksi. Jadi, saya bangun jam 4 pagi dan memasak sebelum ke rumah kakak di Kampung Sungai Puteri, di sini untuk menonton acara yang disertai Angah bersama ahli keluarga yang lain.

“Ketika Angah diumumkan sebagai pemenang, saya seakan mahu pitam dan tidak percaya kerana anak saya berjaya menyumbang emas untuk negara, perasaan terharu dan bangga semuanya bercampur baur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sepakat, di sini hari ini.

Azroy yang bertanding dalam kategori 56 kilogram (kg) bukan sahaja memenangi emas pertama negara di Gold Coast tetapi turut memecahkan dua rekod Sukan Komanwel, kedua-duanya milik Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara snatch dan angkatan keseluruhan.

Azroy melakukan angkatan 117kg dalam snatch sekali gus mengatasi rekod lama 116kg milik Amirul yang dilakukan di New Delhi 2010, clean and jerk (144kg) dan 261kg dalam angkatan keseluruhan sekali gus memecahkan rekod idolanya itu yang dilakukan di Manchester 2002.

Rohana bagaimanapun menyifatkan kejayaan anaknya itu adalah hasil kerja keras dan pengorbanannya sejak berusia 14 tahun.

“Sebenarnya, perjalanan karier Angah tidak mudah kerana pada awal pembabitannya, saya terpaksa menghantar dia untuk menjalani latihan di Pusat Angkat Berat Rompin dengan hanya menaiki basikal.

“Adakalanya dia terpaksa berjalan kaki demi memastikan tidak terlepas sesi latihan dan nyata pengorbanannya itu berbaloi apabila memenangi emas,” katanya yang mengakui hampir setiap hari menghantar mesej kata-kata semangat menerusi aplikasi WhatsApp kepada anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 7:35 PM