ACE mempamerkan tarian mengagumkan.
ACE mempamerkan tarian mengagumkan.
MAMAMOO seksi dan menggoda.
MAMAMOO seksi dan menggoda.
SUJU hebat di pentas.
SUJU hebat di pentas.
Georgie Joseph

Seawal tengah hari Sabtu lalu, pekarangan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur mula dibanjiri peminat muzik K-Pop. Masing-masing tidak sabar menonton artis kesayangan beraksi pada konsert K-Wave 2 Music Festival yang dibawakan Mcalls.

Namun paling dinantikan ketika itu pastinya kumpulan idola legenda Korea Selatan iaitu Super Junior (SUJU). Lama tidak beraksi di Malaysia, semestinya peminat merindui mereka.

Tampil bertujuh pada konsert dihadiri lebih 20,000 penonton itu, apa lagi boleh disangkal mengenai SUJU? Biar datang dan pergi kumpulan lain, kedudukan mereka belum tergugat sehingga saat ini.

Berkongsi pentas dengan ramai artis lain, Shindong, Siwon, Eunhyuk, Donghae, Yesung, Heechul dan Leeteuk membawa aura berbeza sebaik muncul di pentas sebagai penghibur terakhir.

Jeritan penonton semakit kuat bergema sebaik kelibat mereka menakluk pentas. Ia sekali gus membuktikan kumpulan legenda itu sememangnya tiada tandingan. Kehadiran SUJU berjaya mengubati kerinduan peminat setia mereka, Everlasting Friends (ELF).

Apa yang pasti, tujuh jejaka itu juga rindu beraksi selepas beberapa tahun memperlahankan kerjaya seni. Mereka seakan-akan melepaskan geram dengan memberikan persembahan hebat sepanjang persembahan.

Memulakan persembahan dengan lagu ikonik Sorry Sorry, mereka ternyata masih ada pesona sebagai penghibur yang hebat. Saat itu, peminat tidak mampu menahan diri dan yang duduk serta-merta bangun seolah-olah menyambut kepulangan hero mereka.

SUJU mengakui gembira dapat berjumpa semula peminat di Malaysia.

“Kami sangat rindukan anda semua! Hebat betul rasanya apabila dapat bertemu lagi dan sokongan yang kalian berikan masih sama seperti sebelum ini.

“Kami akan kembali semula ke sini untuk konsert solo nanti. Anggap saja persembahan ini sebagai pemanas badan sebelum kita berjumpa tidak lama lagi,” katanya.

Tiada apa yang boleh dipertikai apabila membabitkan persembahan SUJU. Cukup bertenaga dan ‘hidup’ di atas pentas.

Selebihnya, keikhlasan mereka menghiburkan penonton dan sikap profesional dan kehebatan menguasai pentas, SUJU antara yang terbaik.

Pada malam itu, mereka turut mempersembahkan lagu Mamacita, Black Suit, Bonamana, Here I Am (Yesung), Growing Pains (D&E) dan Oppa Oppa (D&E).

Penonton puas

Kemeriahan acara muzikal paling dinantikan setiap tahun itu membuktikan penyanyi Korea Selatan baik yang baru mahupun lama masih diterima peminat di sini.

Majoroti penonton berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan setiap penghibur terutama pendatang baru. Kesungguhan ditunjukkan di pentas begitu terserlah dan berjaya meyakinkan semua.

Dibuka dengan persembahan A.C.E yang menyampaikan lagu Call of Them, Cactus, Playing With Fire dan Callin’, kumpulan itu tampak sangat bertenaga. Koreografi yang dipersembahkan cukup memukau selain vokal mantap.

Diikuti TAHITI, kumpulan wanita itu turut mempamerkan kekuatan vokal dengan penampilan ala kumpulan dari Jepun. Sempat berseloroh di pentas, kumpulan itu meninggalkan impak tersendiri menerusi persembahan lagu Phone Number, Oppa, You’re Mine dan Skip.

Seterusnya, HALO yang dianggotai jejaka tampan tidak menghampakan dengan aksi bersahaja dan menghiburkan. Mereka mempersembahkan lagu hitFever, I’m Scared, While You’re Sleeping dan Here I Am.

Suasana menjadi gempita apabila Taeyeon pula muncul apabila dia antara penghibur paling dinanti. Dia kelihatan masih beremosi berikutan kehilangan rakan karibnya, Jonghyun baru-baru.

Bagaimanapun, dia memukau penonton dengan lontaran vokal yang indah menerusi lagu I, 11:11, Fine, Male Me Love You dan Hands On Me. Penonton turut menyanyi bersamanya.

Kemudian Nu’est W pula menghangatkan pentas dengan tarian mengagumkan. Mendapat sorakan ramai, kumpulan itu yang mempersembahkan lagu Hello, Overcome, Love Paint, Where You At dan Look membuatkan ramai jatuh cinta dengan mereka.

Menampilan persembahan seksi dan menggoda, MAMAMOO pula jelas membawa aura berbeza. Anggotanya begitu bersahaja dan nakal di pentas mempersembahkan lagu Yes I Am, Decalcomanie, Love Lane, Crush, You’re The Best dan Um Oh Ah Yeh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 9:23 AM