NCT Dream lincah dan bertenaga.
NCT Dream lincah dan bertenaga.
Georgie Joseph


EDISI pertama konsert Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 di Malaysia yang berlangsung pada 28 Januari lalu melakar sejarah membanggakan apabila berjaya menghimpun lebih 5,000 peminat K-Pop di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Walaupun bertembung konsert bintang legenda dari India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil yang terletak bersebelahan, tetapi tidak menjejaskan kemeriahan konsert anjuran CM Live itu.

Ia yang menjadi antara konsert K-Pop pembuka tirai tahun ini turut membuktikan kehadiran artis Korea Selatan terus dinanti.

Dalam erti kata lain, konsert itu sebagai 'pemanas' untuk mengalu-alukan lebih ramai artis dari Korea Selatan berkunjung ke sini.

Penampilan kumpulan NCT Dream tidak dinafikan antara faktor tarikan terpenting untuk konsert terbabit. Maklum saja, kumpulan yang dikenali 'sub unit' NCT itu terlalu besar pengaruhnya.

NCT Dream menjadi teraju utama konsert itu dan diletakkan pada giliran terakhir untuk beraksi. Dengan itu, peminat tidak mungkin berganjak selagi mereka belum muncul di pentas.

Sebaik muncul, jeritan bergema lebih gempita berbanding persembahan sebelumnya dan suasana stadium sangat meriah.

Tidak disangkal, NCT Dream jadi pujaan setiap yang hadir pada acara itu terutama peminat setia mereka yang dipanggil NCTzen.

Kerinduan melihat kumpulan kesayangan itu depan mata pasti terubat. Malah, NCT Dream sendiri berjanji ingin kembali semula ke Malaysia.

"Selepas ini kami akan datang semula ke Malaysia. Jadi, anda semua perlu bersedia. Untuk persembahan akan datang, kami mahu datang sebagai kumpulan penuh iaitu bersama dua lagi ahli iaitu Mark dan Haechan," katanya.

Lincah dan mempesona, kumpulan terbabit berikan persembahan memukau dengan mendendangkan lima lagu iaitu Hot Sauce, Glitch Mode, BeatBox, dan Candy.

Lebih bermakna, sepanjang persembahan turut diiringi pancaran cahaya 'light stick' hijau yang menjadi aksesori rasmi mereka pada konsert terbabit. Rata-rata peminat sangat puas walaupun hanya disaji lima lagu.

Konsert itu juga semestinya memberikan makna tersendiri buat beberapa penghibur terbabit. Antaranya kumpulan yang semakin meningkat namanya iaitu ALICE kerana pertama kali ke Malaysia.

Jeritan diberikan penonton tidak kurang hebatnya buat kumpulan itu. Sekali gus, mereka tidak lekang senyuman sepanjang atas pentas melihat sokongan sangat mengagumkan itu.

Tampil mempersembahkan lima lagu, ALICE begitu bersungguh-sungguh menunjukkan bakat menari dan nyanyian terbaik mereka.

Lagu dipersembahkan adalah Jackpot, No Big Deal, Power of Love, Summer Dream, This Is Me dan Dance On.

Yang pasti, ALICE jelas sangat teruja dan seronok apabila akhirnya dapat berkunjung ke sini bertemu dan menghiburkan peminat Malaysia buat julung kali. Mereka juga seronok dapat 'tinggalkan' sebentar cuaca sejuk di negara sendiri.

"Keadaan di Korea Selatan sekarang sedang 'membeku'. Jadi, apabila sampai saja ke sini semalam, kami sangat gembira dapat merasa cuaca lebih panas.

"Akhirnya dapat juga kami bertemu anda semua selepas lama hajat tergendala gara-gara pandemik Covid-19. Kami berharap anda semua terhibur dengan persembahan kami kali ini," kata mereka.

Tidak ketinggalan, kumpulan KARD juga menghangatkan suasana dengan celoteh nakal atas pentas selain persembahan hebat. Mereka juga terlalu gembira dapat kembali membuat persembahan di Malaysia.

Pada konsert itu, mereka mendendangkan Ring The Alarm, Oh NaNa, Good Love, Whip!, Bomb Bomb dan Dumb Litty.

Tidak dinafikan, corak persembahan mereka cukup unik dan tidak klise sebagaimana artis K-Pop selalu peminat lihat.

Begitu juga kumpulan WayV. Kelincahan mereka 'mencairkan' peminat tatkala mempersembahkan lagu Love Talk, Diamonds Only, Broken Love, Let Me Love U dan Phantom.

Tidak dilupakan, kumpulan tempatan iaitu Dolla yang sangat berbesar hati dapat peluang berkongsi pentas dengan bintang ternama K-Pop. Mempersembahkan tiga lagu, tawaran beraksi pada acara itu sangat besar maknanya.

"Kami sangat bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Dapat berkongsi satu pentas dengan nama-nama handalan itu adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak ceburi bidang muzik.

"Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak kukuhkan nama. Ia satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami apalagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa," kata mereka.

Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 menampilkan pentas berbentuk T. Ia bagi memudahkan peminat mendekati idola mereka selain merasai detik yang menggembirakan apabila dapat bertentang mata dengan artis pujaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:00 AM