Michelle Gun


Band lelaki popular pada era 1990-an, Backstreet Boys (BSB) belum terkubur dan masih aktif membuat persembahan walaupun masing-masing sudah mendirikan rumah tangga.

Anggotanya, AJ, Howie Dorough, Nick Carter, Kevin Richardson dan Brian Littrell kini sibuk dengan persembahan panjang mereka di teater Planet Hollywood Axis, Las Vegas, Amerika Syarikat yang akan melabuhkan tirainya pada 1 Julai ini.

Bagi peminat yang merindui lima jejaka ini, pawagam TGV Cinemas akan menyiarkan dokumentari Backstreet Boys: Show ‘Em What You’re Made Of pada 21 hingga 24 April ini.

Dokumentari berdurasi hampir dua jam itu mengikuti perjalanan karier seni BSB selama dua tahun bermula kumpulan berkenaan ke London pada 2012 untuk menghasilkan album kelapan In A World Like This.

Namun, dokumentari ini bukan sekadar hanya mengisahkan persembahan mereka, tetapi turut memaparkan aktiviti seharian mereka di London termasuk pendedahan Littrel menghidap masalah kord vokal dan neurologi yang dikenali sebagai dystonia.

Turut terselit babak saspens apabila anggota BSB berkongsi kekecewaan mereka terhadap bekas pengurus Lou Pearlman yang menubuhkan kumpulan pesaing NSYNC pada 1995.

Mereka mendedahkan bagaimana Pearlman songlap wang hasil kumpulan terbabit serta layanan buruk terhadap mereka.

Khas untuk rakaman dokumentari terbabit, BSB mengadakan persembahan akustik istimewa untuk lebih 2,000 peminat di Teater Dominion, London.

Mereka menyampaikan lima lagu hit iaitu I Want It That Way, As Long As You Love Me, Shape Of My Heart, Show ‘Em (What You’re Made Of) dan In A World Like This.

Kumpulan itu sempat melawat rumah agam Pearlman yang kini sudah tidak berpenghuni selepas lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara akibat kesalahan kes penipuan.

Sepanjang 24 tahun menyanyi, BSB memenangi pelbagai anugerah berprestij dan berjaya menjual lebih 130 naskah album di seluruh dunia.

Dilabelkan sebagai kumpulan paling laris dalam sejarah, BSB bertuah apabila sembilan albumnya disenaraikan dalam 10 terbaik dalam carta lagu Billboard Top 100.

Maklumat lanjut dokumentari Backstreet Boys: Show ‘Em What You’re Made Of boleh melayari laman web www.tgv.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 12:39 PM