TAMPAK sihat meskipun sudah berusia.
TAMPAK sihat meskipun sudah berusia.
Syanty Octavia Amry


Usia mereka bukan halangan untuk memberikan persembahan yang bertenaga buat peminat semua. Pernah mengadakan konsert di sini, kumpulan duo popular dari Australia, Air Supply kembali lagi ke Malaysia.

Mengadakan persembahan di Hotel One World, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, Air Supply yang diterajui oleh dua sahabat baik iaitu Graham Russell, 64, selaku pemain gitar dan Russell Hitchcock, 65, penyanyi, hadir sekali lagi ke sini untuk mempromosikan single baru mereka berjudul I Adore You.

Di samping itu, persembahan berkenaan juga sempena meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan kumpulan berkenaan.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Sweet Dreams, lebih 2,000 penonton terhibur dan teruja menyaksikan nyanyian kumpulan duo ini yang dilihat begitu bersahaja dan selamba.

Mengakui selesa dengan layanan dan sikap orang Malaysia, kumpulan ini memilih negara ini sebagai destinasi terakhir mengadakan konsert jelajah 40 tahun penubuhan mereka dalam bidang muzik.

Mesra dan pandai me­ngambil hati penonton, kumpulan yang memulakan persembahan pada jam 9 malam itu turut menyanyikan rangkaian lagu seperti Even The Nights, Just As I Am, Every Woman, Here I Am, Chances dan Goodbye.

Buat pertama kalinya juga mereka mempersembahkan secara langsung single baru mereka berjudul I Adore You di hadapan semua peminat setia mereka di Malaysia.

Selesai mempersembahkan single baru mereka yang terhasil lima tahun itu, Russell turut menyanyi solo sambil memetik gitar menyanyikan lagu Son Of The Father.

“Sebelum menyanyikan lagu ini, saya mahu berpesan kepada semua yang masih mempunyai ayah sayangilah mereka selagi masih ada. Jika tidak mungkin anda sudah tidak berpeluang melakukan perkara itu lagi,” katanya ringkas.

Tidak hanya orang dewasa, turut kelihatan kelompok peminat juga terdiri daripada golongan muda remaja dan kanak-kanak.

Mungkin juga kerana mereka sudah diperdengarkan dengan lagu kumpulan ini yang selesa didengar oleh halwa telinga sesiapa saja.

Antara lagu lain yang diper­sembahkan ialah Two Less Lonely, Lost In Love, Making Love, Desert Sea Sky dan Shake It.

Ketika menyanyikan lagu The One That You Love, Russell dan Graham turun ke pentas mendekatkan lagi diri mereka bersama penonton.

Terlihat kegembiraan dan kegilaan penonton terhadap idola mereka apabila masing-masing tidak putus-putus bergambar dan berselfie.

Russell juga begitu ‘sporting’ melayan kerenah penonton yang tidak putus-putus mengambil gambar bersamanya tatkala dia menyanyi di pentas.

Hampir satu setengah jam menghiburkan penonton, mereka menutup tirai persembahan dengan lagu berjudul All Out of Love.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:00 AM