POGBA  (tiga dari kiri) diraikan rakan sepasukan di  Stadium Giuseppe Meazza, Milan. FOTO AFP
POGBA (tiga dari kiri) diraikan rakan sepasukan di Stadium Giuseppe Meazza, Milan. FOTO AFP
Agensi

Milan: Paul Pogba membawa Manchester United ke suku akhir Liga Europa selepas jaringannya membantu menewaskan AC Milan 1-0 di San Siro pagi tadi.

Pogba terlepas 10 aksi terakhir United susulan kecederaan paha ketika seri 3-3 dengan Everton di tempat sendiri pada awal Februari lalu namun pantas mencetuskan impak pada saingan peringkat kedua.

Masuk menggantikan Marcus Rashford selepas rehat, pemain antarabangsa Perancis itu tenang menolak bola masuk dari jarak dekat pada minit ke-48 bagi membolehkan pasukannya mara dengan agregat 2-1.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer memuji impak Pogba dan berkata, pemain tengah itu akan terus memberi sumbangan besar sehingga ke fasa akhir musim ini.

"Pemain saya beraksi dengan cemerlang tanpa Paul tapi kita tahu kualiti dimilikinya,'' kata Solskjaer.

"Dia menjadikan perbezaan sangat besar kepada kami. Paul bekerja sangat gigih tetapi anda dapat lihat dia tidak dapat bermain lebih daripada 45 minit.''

Solskjaer turut yakin United mampu mara lebih jauh selepas menewaskan salah satu kelab terbaik Itali.

"Kami berjaya melepasi cabaran sukar menentang kelab hebat. Banyak lagi pasukan bagus. Ia kejohanan merebut piala dan apa sahaja boleh berlaku tetapi kami sudah pun mara dan keyakinan semakin meningkat.''

Sementara itu, Zlatan Ibrahimovic yang kembali pulih daripada kecederaan dan masuk sebagai pemain gantian tidak berjaya menyelamatkan pasukannya sekaligus kelab Serie A itu gagal menang buat kali kelima berturut-turut di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:22 AM