Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menemukan telefon pintar dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di sebuah parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, di sini. FOTO BERNAMA
Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menemukan telefon pintar dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di sebuah parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, di sini. FOTO BERNAMA
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Beberapa pengamal media yang membuat liputan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah melalui kejadian yang disifatkan aneh sejurus telefon bimbit mangsa ditemukan dalam parit ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, semalam.

Melalui perkongsiannya dalam video di aplikasi TikTok, wartawan TV3 , Fareez Azman berkata sebelum telefon bimbit itu ditemukan, dia bersama rakan petugas lain duduk tidak jauh daripada parit berkenaan.

Katanya, tiba-tiba anggota polis yang melakukan selaman bagi mencari bahan bukti itu menjerit sambil menunjukkan telefon bimbit di tangannya.

Fareez berkata semua pengamal media bergegas untuk mengambil gambar dan tidak mahu melepaskan detik penemuan telefon bimbit berkenaan.

"Sambil kami ambil gambar, ada angin berlalu. Rasa sedap… sejuk je. Tempat tu tak ada angin tau. Lepas tu kawan saya dekat belakang cakap, seronoknya ada angin macam ni sebab kami duduk dekat bawah pokok. Jadi angin ketika itu tak menentu la.

"Saya pun cakap, best la duduk bawah pokok macam ni sebab kami duduk menggunakan kerusi 'healing'. Jadi kami buat 'bodoh' je la," katanya.

Dalam pada itu, Fareez berkata selepas kejadian itu dia ada menemui seorang individu dan turut bertanyakan mengenai tiupan angin berkenaan.

Fareez Azman berkata, individu itu berbisik kepadanya dan mengatakan bahawa sekiranya perkara itu berlaku, kebiasaannya itu adalah ucapan terima kasih mangsa.

Tambahnya, individu itu turut mendedahkan, itu bukan pengalaman pertamanya merasakan tiupan angin sejurus menemui bahan bukti.

"Dia kata, pengalaman sebelum ini juga begitu. Bila sesuatu bahan-bahan yang penting untuk membantu kes (ditemui) untuk selesaikan dan sebagainya, begitulah yang berlaku.

"(Selepas mendengarkan pendedahan individu itu) saya termenung, sebab saya pun tak pernah alami kejadian seperti itu.

"Saya pernah pergi kawasan pembunuhan, kawasan orang cari bahan kes dah sebagainya tetapi tidak pernah rasakan angin seperti itu.

"Mungkin itu adalah simbol ucapan terima kasih, sebab kita tahu, mereka (anggota polis) melakukan yang terbaik untuk membantu arwah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, anggota polis berpangkat lans koperal ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak mengesahkan suspek bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 2:50 PM