AFIQ diiringi polis selepas Mahkamah Majistret Batu Pahat menjatuhkan hukuman denda kerana menyimpan video lucah. FOTO Alias Abd Rani
AFIQ diiringi polis selepas Mahkamah Majistret Batu Pahat menjatuhkan hukuman denda kerana menyimpan video lucah. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Seorang remaja didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan video lucah dalam telefon bimbitnya, tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Afiq Hakim Mulyadie, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan video lucah dalam simpanan galeri telefon bimbitnya di sebuah rumah di Senggarang, di sini, pada jam 2.45 petang, 24 Disember lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu rumah tertuduh selepas menerima maklumat mengenai tindakannya menyimpan bahan terlarang itu.

Hasil pemeriksaan, polis menemui video terbabit dan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam rayuannya tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum terhadap kesalahan dilakukan.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 2:51 PM