FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kota Bharu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan mengesahkan tiga borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang sudah dibeli setakat ini.

Pengarah SPR Kelantan Fakhrul Razi Ab Wahab berkata, satu daripada borang berkenaan dibeli oleh wakil Parti Sedar Rakyat (Sedar) pagi hari ini.

"Setakat hari ini, sudah ada tiga borang yang dibeli oleh wakil parti yang akan bertanding pada PRK Nenggiri termasuk parti Sedar hari ini," katanya kepada Bernama.

Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 2:54 PM