POGBA dikawal ketat tiga pemain Chelsea di Old Trafford. - FOTO AFP
POGBA dikawal ketat tiga pemain Chelsea di Old Trafford. - FOTO AFP
Reuters

SELEPAS kemelut berakhir, Paul Pogba kembali menjadi tumpuan ketika Manchester United memulakan kempen Liga Perdana malam tadi.

Pemain tengah Perancis itu yang menjadi perancang gol ketiga dan keempat United ketika menewaskan Chelsea 4-0 di tempat sendiri pantas mendapat pujian pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Pogba dikawal ketat pemain Chelsea pada babak pertama dan bergelut melakukan hantaran tetapi selepas rehat dia mempamerkan kualiti sebenar dengan menghantar bola kepada Marcus Rashford untuk jaringan ketiga. Pogba kemudiannya mengemudi serangan balas yang membolehkan Dan James membolosi gawang Chelsea.

"Dia pemain sangat, sangat bagus dan cintakan bola sepak. Apabila beraksi di atas padang atau di tempat tertutup, dia makin maju di sini (Old Trafford), dia pemenang Piala Dunia,” kata Solskjaer.

"Dia jarang menghampakan anda. Dia mungkin hilang bola beberapa kali tapi itu tak mengapa. Dia merampas bola dan bermain dengan baik,” katanya.

Pengendali dari Norway itu berkata, dia menggesa Pogba yang dikaitkan dengan Real Madrid dan Juventus supaya bermain dengan corak bertahan di samping Scott McTominay dan Andreas Pereira.

"Paul boleh melakukan banyak tugas, dia boleh menjadi pemain tengah menyerang dan hari ini dia lebih berperanan sebagai penghubung. Apabila anda mempunyai (Victor) Lindelof, (Harry) Maguire dan David (de Gea) di bahagian belakang, mereka boleh melorongkan bola kepada Paul yang memudahkan tugas pemain itu.

"Buktinya dia mencipta hantaran fantastik untuk gol ketiga dan membuat larian kencang untuk jaringan keempat. Saya mahu dia terus berperanan seperti itu,” kata Solskjaer.

Walaupun gembira dengan prestasi pemain baharu, Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Dan James, Solskjaer tetap menganggap pasukannya belum berada pada tahap yang dia mahukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 9:02 AM